Ni sedutan interview bersama Nizang sahaja sebagai perkongsian..
Bagaimana Ahmad Nizamuddin boleh jadi ‘nizang nervhous’ ni? Kalau tak silap bermula dari sebuah kaset dari kekasih kakak saudara bukan? Kalau tak kisah, ceritakan sedikit sejarah saudara. ‘History never looks like history when you are living through it.’-John W. Gardner
Memang pada awal pembabitan aku dengan dunia muzik semuanya banyak dipengaruhi oleh kakak aku. Dia banyak dengar lagu best-best dan aku start terjebak sejak zaman Exist, 4U2C, KRU sampailah dia beli kaset Offspring ‘Smash’, Nirvana ‘Nevermind’, Ramones ‘Adios Amigos’ dan aku beli kaset Greenday ‘Dookie’ yang aku tengok iklan di TV. Lepas tu kakak aku banyak pinjam kaset dari kawan-kawan dia. Jadi macam-macam kaset lah aku dapat dengar masa tu disamping yang kami beli sendiri. Antara kaset-kaset penting yang kakak aku bagi kat aku adalah The Pilgrims –demo dan dua album pertama, Dull Entertainment Programme –first e.p, Enslaved Chaos e.p, Millencollin ‘Life On A Plate’, No Fun At All ‘Out Of Bounds’, Ramones dan Toy Dolls. Satu lagi yang penting juga adalah demo tape The Rotten ‘Sketch Your Brain’ dan ada juga rakaman diorang main lagu Guns N Roses. Apabila aku dapat demo tu yang betul, ada lagu-lagu Oi yang lebih keras walhal kaset yang aku dapat mula-mula semua lagu adalah sangat melodic. Jadi aku rasa apa yang aku dapat mula-mula tu bukan keluaran rasmi. Sebab kakak aku berkawan dengan drummer band tu, mungkin ia adalah antara master tapes dari simpanan mereka.
Nak dipendekkan cerita, aku menjadi aktif dengan scene punk rock. Mula dengan buat zine, main band dan buat label. Label tu mula-mula nama Batman Distro pada tahun 1999. Lepas tukar jadi Sixth Sense Records. Tahun 2001 tukar jadi Nervous Entertainment. Tukar lagi jadi Nervous Records dan akhir sekali jadi Nervhous Records. Lalu adalah dikalangan kenalan yang menggelarkan aku Nizang Nervhous. Rasanya Joe Kidd yang selalu tulis macam tu.
Macam mana anda boleh mengenali si Shabri ni sebenarnya? Dan macam mana juga anda boleh terut serta dengan aktiviti-aktiviti di A//mince studio suatu ketika dahulu? Adakah anda diracuni pemikiran oleh Shabri atau pun mungkin diugut?
Perkenalan aku dengan Shabri adalah di studio Kuyie. Ketika aku di tingkatan lima, tahun 1999. Aku ada baca pasal zine yang dia keluarkan Narrator, lalu aku mengordernya dengan meletak duit cash dalam sampul surat. Dia bagitahu yang dia akan berjumpa sendiri dengan aku untuk bagi zine dia ni (issue ke-2) di studio Kuyie. Lepas tu dia ke KL belajar di UIA. Dalam masa tu juga abangnya Fazri baru habis belajar di UUM dan balik kampung lalu datang berjumpa aku di rumah aku di Kuala Ibai. Lepas itu budak-budak scene hc/punk di Terengganu selalu lepak di Istana Maziah bersama skater-skater di KT. Semasa Shabri menyewa dan mengambil alih sudio KAMAZ dan menukar namanya kepada A//Mince aku dan kawan-kawan juga selalu lepak dan jamming di tempat tu. Sebagai kaki lepak, secara tak langsung juga kami kenalah akur dan berpartisipasi dalam aktiviti-aktiviti di sana. Pada masa tersebut etika sangat dititikberat dan ditekankan dalam scene hc/punk tak macam sekarang.
Secara jujurnya, bila teringat Terengganu, apa yang akan mula-mula terlintas di benak fikiran anda? Selain keluarga lah. Mungkin kenangan-kenangan zaman DIY lampau, mungkin juga keropok lekor, mungkin juga aku? Haha.
Banyak. Baru ni aku berpeluang balik ke Terengganu masa majlis perkahwinan aku. Keluarga isteri menyewa rumah di pantai Batu Burok. Teringat zaman-zaman dulu berbasikal di sana pada pukul 2-3 pagi dengan kawan-kawan. Teringat acara tahunan Pesta Pantai masa zaman budak-budak. Pergi kubur ingat arwah ayah. Lalu terminal bas teringat zaman dulu selalu naik bas ke bandar semata nak main skate atau nak beli sekeping kaset, maghrib pun kat sana lagi. Teringat main skate pada hari raya pertama di terminal bas tu yang lengang hanya pada hari raya pertama. Apa lagi? Tengok kedai Mek teringat zaman ponteng sekolah makan mee goreng dengan air anggur. Tengok sekolah teringat zaman sekolah, kawan-kawan sekolah dan kisah-kisah cinta monyet dan zaman chatting di mIRC. Tengok kedai nasik lemak depan sekolah teringat nasik lemak ponteng. Lalu di Istana Maziah teringat kawan-kawan skate yang dulu hari-hari sama-sama usung papan selaju ke sana ke mari, pergi beli baju di bundle. Lalu berdekatan dengan masjid putih, ingat arwah ayah. Dan teringat kawan-kawan Rohock crew dan A//Mince. Satu-satu muka muncul dalam benak fikiran. Lalu di Plaza Perdana ingat zaman ponteng tuisyen dan curi-curi masuk studio jamming tengok orang jamming. Teringat masa tu scene Terengganu tak ramai sangat orang. Pernah lepak lama dengan Arafat Terunasuci, Usop skinhead berborak-borak.
Bila dah jarang dan dah lama tak balik kampung macam tu lah agaknya. Semua kenangan datang balik. Rindu kat kampung. Rindu kawan-kawan yang dah lama tak nampak batang idung. Masing-masing sudah sibuk dengan kerja, keluarga dan anak-anak. Ada juga yang merantau macam aku, cari rezeki di tempat orang.
Saudara telah melihat perkembangan scene Terengganu itu sendiri sejak dari dulu sampailah sekarang. Dan mungkin anda lihat pelbagai perubahan rantaian scene terengganu itu sendiri. Apa yang orang dulu ada, orang sekarang tiada? Bagaimana progress scene DIY terengganu itu membesar?
Sekarang ni aku dah tak follow sangat scene di Kuala Terengganu. Band-band pun aku rasa ada banyak tapi aku tak kenal sangat dan yang aktif kebanyakannya metalcore, indie pop dan punk fesyen. Aku mula aktif di scene Terengganu pada tahun 1999 dengan buat zine Mosh. Sebelum tu, scene di Terengganu agak senyap. Tiada gig, tiada band yang mengeluarkan demo kecuali awal/pertengahan 90an, dengan beberapa band antaranya The Rotten, Tahannus, Dead Idols, Speaks aka The Spits dan DPSA. Tapi aku tak sempat untuk beli demo-demo ni. Ada yang aku beli kemudian. Masa tu ada juga zine seperti Real Choices tapi baca dalam review tak menarik sangat. Start dengan zine Pang Zine, aku mula terokai scene local. Dan start baca Chaos PS (syukree) dan Help (Besut) aku mula dapat kenal editor-editor zine lain seperti Shabri (Narrator) dan Fazri (DRSA) dan time tu juga aku kenal editor-editor zine Go Staight Down (Nazri dan Mat Lo). Tahun 1999 antara tahun yang paling hebat pada pandangan aku untuk scene di Terengganu dimana gig pertama dianjurkan dan band-band tertubuh.
Kalau ada mesin rentas masa, best jugak pergi balik tahun 1999 ni. Dan tahun selepas itu dimana 3 gig diadakan dalam masa setahun. Tahun ni kemuncak kemeriahan scene Terengganu dengan scene Kerteh juga mengadakan gig dan banyak band-band yang semuanya terdiri dari budak-budak sekolah main macam-macam jenis HC/Punk. Selepas tahun-tahun tersebut kemunculan A//Mince memang lebih banyak band yang wujud dan jamming session diadakan selalu. Kompilasi kaset Bollok Wok pula dikeluarkan untuk mendokumentasikan scene di negeri penyu ini. Aktiviti pun lebih banyak selain lepak sahaja. Barang pun banyak ada dijual di A//Mince dan boleh bertukar-tukar cerita berbanding pada tahun 1999 dimana Ronin Distro jual barang-barang yang mereka dapat di tempat budak-budak main skate.
Lepas tu memang dah banyak gig, termasuk beberapa gig yang kantoi dengan polis sampai masuk surat khabar. Tapi band HC/punk tak banyak sangat. Tahun 2005 aku keluarkan kompilasi Bollok Wok vol. 3 dan lepas-lepas tu aku dah kurang ambil tahu tentang scene di sana kecuali beberapa band kawan-kawan. Band pun lebih banyak ke arah metalcore yang aku tak masuk sangat. Proses membesar? Susah juga aku nak cerita. Tapi scene Terengganu banyak bertahan dan berkembang dengan jasa-jasa Kuyie Studio (studio jamming yang paling lama bertahan di Kuala Terengganu), Rohock Crew (buat gig pertama yang official dan gig-gig lain) Ronin Distro (memulakan kompilasi Bollok Wok dan lain-lain), A//Mince (infoshop and studio), Human First Collective, Historic Records, dan zine-zine seperti Aedes, Chaos PS, DRSA, Heartcore dan lain-lain.
Orang dulu ada kepayahan dan usaha yang tinggi berbanding sekarang yang serba mudah. Dulu buat demo kena dubbing sendiri, lukis cover, buat flyer dan tampal di jamming studio dan pos demo tape kepada pembeli dan buat promo kit bagai bagi zine-zine. Sekarang? Facebook, photoshop, myspace, twitter dah ganti semua tu. Dulu budak-budak yang suka muzik dan menulis akan buat zine, sekarang sekadar tulis di blog. Bagi aku kurang seronok sikit bila semuanya mudah sebab budak-budak tak hargai sangat apa yang mereka lakukan.
Nak order zine ni, boleh juga melalui aku dengan harga RM4 termasuk postage handling.
No comments:
Post a Comment