Monday, August 7, 2017

5 SOALAN: Verminator

AKU mengenali Yoe semasa dia bermain dram untuk band punk rock Cock Say Cock Dung dan kemudian The Let's Go yang berpengkalan di Mengabang Telipot, sebuah kampung punk di Kuala Terengganu. Namun, Yoe lebih kearah genre muzik Metal. Baru-baru ni, Verminator mengeluarkan album mereka dan mendapat sambutan hangat. Jom semak beberapa soalan yang aku berikan kepadanya mengenai VERMINATOR.



Yoe, boleh ceritakan berapa band mu main leni? Namakan band-band yang mu terlibat.

Band hok aku main sekarang, anyg aktiif adalah Dysgusted, Suffer Remain, Nosferiel(drum), Veminator(vocal dan guitar). Ade juga beberapa band yang guna aku sebagai sessionist.

Ceritakan sikit tentang Verminator, bila ditubuhkan dan pengaruhnya...

Verminator ditubuhkan hujung-hujung 2013. Line-up tetap adalah Zam Neoroth (dram), Jim Reinigen (bass/ vocals) dan aku (Guitar/Vocals). Verminator dipengaruhi kuat oleh old school thrash metal Eropah dan benua USA seperti early Metallica dan early Sepultura.

Ceritakan sikit tentang proses rakaman album ‘Fatal Devastation’.

Rakaman ‘Fatal Devastation’ berlaku sekitar awal 2016 berakhir awal 2017. Track dram direkod di Musecca Studio, Dungun. Track guitar, bass, vocal, proses mixing dan mastering dilaksanakan oleh Erylasia Studio, Kuala Terengganu.

Macam mana scene Terengganu sekarang terutama genre Metal? Aku rasa aktif jugak leni dengan beberapa siri gig diadakan di Dungun dengan band-band lama main di sana seperti Modar, Sil Khannaz, The Pilgrims, Suffercation dan terbaru Infectious Maggots. Band-band baru dari Terengganu apa yang berpotensi tinggi?

Scene metal di Terengganu sekarang boleh dikatakan amat meriah. Banyak gig-gig telah dianjurkan. Ramai juga nama-nama besar turun beraksi di sini dan mereka amat berpuas hati bermain di sini kerana crowd yang supportive tidak mengira band.

Band Terengganu baru yang berpotensi bagi aku adalah Sapprah yang membawakan genre Eastern Death Metal. Mereka akan beraksi sekali dengan Verminator di Kajang pada bulan 10 nanti. Band Sahaya (band lama yang aktif balik) juga berpotensi tinggi untuk maju. Bergenre black metal Norway ala-ala Satyricon dan lain-lain. Aku dengar lagu mereka yang first time rekod memang terbaik. Susunan yg kemas mudah untuk diterima telinga. Selain bermain gig, setakat ini tiada apa-apa lagi yang dikeluarkan oleh band-band ni, mungkin tengah proses untuk keluarkan first meterial dan memeriahkan lagi scene metal 
Terengganu.



Setakat ni apa feedback yang diterima tentang album ‘Fatal Devastation’? Ada sampai pos ke luar negara rasanya. Aku beri peluang mu promote ‘Fatal Devastation’. Dan kata-kata akhir.

‘Fatal Devastation’ boleh dikatakan dapat feedback yang positive dari kebanyakan pendengar. Jualan CD pun boleh tahan juga lepas launching di gig ‘Hammer Ov Thrash’ penghujung April lepas. Kedai-kedai di Kompleks Campbell dan sekitar pun dah beberapa kali repeat order. Ada juga yang dari USA order dan dari Poland untuk dimuatkan dalam majalah dari sana, Hardrocker. Ia turut dimainkan oleh stesen radio di sana. Terbaru, CD kami akan dihantar ke German oleh Gedebe Rekords.

Kata-kata akhir aku semoga scene metal Terengganu dan Malaysia terus maju dan dikenali dunia. Kepada yang meminati irama old school thrash metal seperti Sodom, Destruction, Kreator, early Metallica, dan early Sepultura, segeralah dapatkan album ini kerana kami hanya membuat 500 copy dan baki dah  tak banyak. Nantkan keluaran limited edition versi kaset oleh Gedebe Rekords nanti di gig Kajang bulan 10 ni. Untuk belian CD, boleh PM menerusi FB Verminator atau email verminatorband@gmail.com


Terakhir sekali, terima kasih kepada saudara Nizang kerana sudi interview aku. Mu kemahh bohhh…

Wednesday, August 2, 2017

Transplant Secara Batin

PENGALAMAN DIBEDAH SECARA BATIN

Aku bukanlah seorang yang percaya kepada bomoh, berubat kampung atau rawatan alternatif ni. No offence pada mereka yang mempercayai dan mengamalkannya.

Walaupun ada yang tidak meletakkan harga dan cuba bayaran “ikhlas”, kebanyakannya mahal dan tidak berhasil pun. Dalam kata lain…kelentong. Malah sekarang, setelah apa yang sudah aku lalui… aku agak anti akannya. Aku dah cuba macam-macam.

Jual air mineral pun kadang tu nak kaitkan dengan dapat menyembuhkan penyakit, give me a break.

Tapi orang-orang yang mencuba nasib dengan perkara-perkara ni, mereka terdesak. Doktor dah nak potong kaki misalnya, tapi ubat kampung cakap tak perlu. So, cubalah pergi ke ceruk mana sekalipun mereka pasti sanggup. Orang kaya, orang berpelajaran tinggi tidak terkecuali malah orang yang kuat beribadah dan pergi dengar ceramah di masjid pun ramai yang percaya.

Kalau ada yang berjaya, Alhamdulillah. Kalau tak berjaya setelah belanja banyak duit, bagai kambing menanduk bukitlah jadinya.

Aku pun terdesak namun masih tidak setuju untuk berjumpa bomoh, atau dengan kata lainnya ubat kampung. Orang agama kata syirik, mungkin kerana melibatkan jin. Dunia jin dan bunian ni bukannya kita reti.

Tapi kerana untuk menjaga hati orang tersayang, aku turutkan jua. Khabarnya dah ada orang yang sembuh lepas mendapat rawatan di sana. Daripada kena dialisis, jadi tak payah dah.

Kami tiba di sebuah rumah kecil, kuarters kakitangan kerajaan. Orang yang aku mengubati ni adalah budak perempuan 16 tahun. Kata emaknya dia tak boleh bersekolah dah kerana ilmu atau kuasanya tu. Ada sekali tu sampai terbalik kereta dibuatnya.

Di dinding rumah terpampang gambar mak ayah budak ni di Mekah. Aku pun cerita masalah aku. Buah pinggang aku dah rosak teruk dan doctor dah suruh mulakan dialisis.

Dengan konfiden mereka bagitahu mereka boleh tukar buah pinggang secara batin. Dalam hati aku tergelak kecil. Nak dua-dua belah ke satu saja? Satu RM150 saja.

Kawan aku pun cakap, elok buat dua belah terus, dia sanggup sponsor kos pembedahan secara batin tersebut. Aku disuruh baring meniarap. Adik 16 tahun ni duk sibuk menghadap main handphone je sepanjang waktu rawatan setengah jam tu. Sekali sekala jari dia menekan belakang badan aku secara lembut. Tekan seakan mendail telefon pun ada aku rasa.

Lepas selesai, ayah dia pula bersuara. Dia kata, “Mesti tertanya-tanyakan dari mana kita ambil buah pinggang tu? Kita sebenarnya ambil dari India. Jangan risau, dari orang Islam punya.

Dan jangan risau, sebelum sampai ke Malaysia…buah pinggang itu telah disinggahkan ke Mekah dan dibasuh dengan air zam zam”. Dalam benak aku terfikir, dadah jenis apalah pakcik ni makan.
Setelah selesai, kata mereka proses transplant dah selesai. Ada beberapa makanan yang aku tak boleh makan selama seminggu.
Emaknya tukang buka bil, dan kawan aku bayar RM300.

Aku ke klinik swasta untuk periksa darah aku samada cretenine aku sudah turun… hampa. Kami ke rumah bomoh ni sekali lagi memberitahu cretenine belum turun.

Dia pun bagitahu, buah pinggang dah baru dua-dua belah, tapi cretenine belum turun. Jadi dia pun dail lah telefon lagi sekali belakang badan aku, kah kah kah! Padahal secara zahirnya, kalau buah pinggang dah transplant dan berjaya, bacaan cretenine akan terus turun.

Satu yang aku rasa kelakar, sebelum-sebelum ni kalau berubat kampung ni biasanya tukang rawat akan cakap “InshaAllah” atau “saya cuba”. Tapi yang ni tak pernah dan memang tahap konfiden memang sangat tinggi.

Semuanya dia boleh, tiada istilah “inshaAllah”, tiada istilah “cuba”. Memang boleh. Transplant jantung boleh, transplant paru-paru boleh.

Lain-lain pun boleh, ada kadar harganya dengan harga transplant buah pinggang adalah yang termurah.

Kesudahan ceritanya, aku tetap kena dialisis selama satu tahun setengah dan kemudiannya transplant buah pinggang secara zahir didermakan oleh adik aku. Di hospital manusia, bukan bunian