Wednesday, January 30, 2013

Temuramah: Nostalgia (1998-2012)





Aku masih ingat, dulu aku ada chat dengan Ci Chaan (sekarang penulis zine Shock N Awe, Dead Pigs) dan dia menyatakan hasrat untuk trade kaset band aku dengan kaset 'Nostalgia'. Masa tu aku tak pernah tahu lagi pasal band ni, aku sangkakan dia nak bagi kaset penyanyi popular 60an atau 70an pada aku. Lepas tu, dia ceritakan pasal band hebat ini. 

Nostalgia merupakan antara band hardcore punk Malaysia yang aku suka. Sebab musababnya adalah kepositifan lirik-lirik mereka terhadap hidup dan semangat untuk hidup. Dan juga, aku sukakan band hardcore old skool berbahasa melayu yang tak banyak wujud di Malaysia, banyak wujud di Indonesia. Pernah aku organize gig 'Old Skool Fest' di ibukota bersama kawan-kawan. Dan mereka tetap membuat persembahan walaupun pemain gitar mereka patah tangan. Gitaris ini tetap hadir dengan tangan berbalut dan betukar posisi kepada vokalis pada hari itu. Bassist mereka bermain gitar dan vokalis mereka bermain bass sampai tangan berdarah pada gig tersebut.

Temuramah dengan Huzairi, vokalis Nostalgia yang aku buat ni bertujuan untuk membuat sebuah penulisan panjang tentang mereka. Tapi tiada idea nak sambung...

Assalamualaikum, apa perkembangan terbaru line-up nostalgia? Nostalgia khabarnya dah takkan aktif/produktif lagi? boleh tahu sebabnya...

W'salam. Saya tak dapat nak kata apa dengan perkembangan terbaru Nostalgia sebab dah takde perkembangan dengan band ni. Officially R.I.P pada 5.5.2012 (persembahan terakhir) di Batu Pahat, tempat di mana ianya bermula. Ramai yg tanya tentang sebabnya. Boleh saya nyatakan yang ianya tak perlu diteruskan kerana keadaannya tidak sama seperti dahulu dan semakin sukar untuk diselarikan. Start dalam keadaan 'band' dan akhirnya bertukar menjadi 'one man band'. Bukan itu kronologi yang sepatutnya berlaku untuk band ni. Biarpun ianya dah bergerak selama 14 tahun. Pengakhiran yang baik bagi kami apabila kami beraksi di stage 'The Wall', Batu Pahat dimana Nostalgia bermula.

Boleh ceritakan perkara paling tidak boleh dilupakan sepanjang bermain dengan Nostalgia? Kenangan yang paling manis? Dan juga paling pahit?

Ni nak nak masuk dalam majalah apa ni? Hehe…dalam 14 tahun memang banyaklah nak diceritakan.
Dah tentu time perform atas stage (merupakan) suatu perkara yg best. Kami jumpa ramai orang di setiap venue gig. Pelbagai ragam, belajar dari keadaan sekeliling, dari satu tempat ke satu tempat. Kami jumpa kegembiraan, kami jumpa kesedihan, kami lihat keperitan hidup orang lain, kami lihat hipokrasi diri sendiri bila kami abaikan kesengsaraan orang lain. Dan yg paling bermakna dalam hidup saya sendiri, walaupun tak mampu untuk menterjemahkan dengan perbuatan, setidak-tidaknya dapat menyuarakan dalam lirik Nostalgia. Percaya atau tidak yang ia nya berjaya dan menjadi sebahagian dari pencetus minda scenester. Semua pengalaman tu takkan dapat dilalui sekali lagi. Ianya betul-betul nostalgic.

Dari segi stail muzik, Nostalgia agak berlainan dari band ‘old skool hardcore’ tempatan yang lain, apa pengaruh korang? Ceritakan proses korang buat lagu…

Sememangnya muzik Nostalgia berbeza dari band ‘old skool hardcore’ yang lain. Kami mahu cuba keluar dari acuan ‘New York Hardcore’, dan ianya berjaya. Walaupun pada mulanya ramai yang mempertikaikan, mana mungkin band ‘old skool hardcore’ menyanyi dalam bahasa melayu. Ianya kekok dan tidak “New York”. Namun tafsiran tu telah disangkal dengan keadaan selepas itu. Muzik old skool hardcore kami dapat diterima. Crowd Batu Pahat dan Johor Bharu pada waktu itu agak ‘gila’. Mereka tahu muzik Nostalgia datang dari keikhlasan bukan untuk menjadi ikon ‘muzik hardcore’ yang mengada-ngada. Crowd mudah untuk menghayati dan mereka menjadi vokalis-vokalis Nostalgia ketika di pentas. Nostalgia sememangnya dengan acuan sendiri, tidak terikat dgn mana-mana rule atau band lain. Ada yang menyukai dan ada juga yang tidak, editor Nizang sendiri ada jawapan untuk perkara 'influence muzik Nostalgia' ini bukan? Ianya terpulang…

90% lagu dan 100% lirik datang dari saya sendiri. Selebihnya dari line-up Nostalgia yang lain. Input muzik didahulukan sebelum lirik diolah ke dalamnya, itu yg biasa saya buat. Sebahagian besar lagu dicetuskan dengan keadaan saya yang tak tahu sebarang kord pada gitar. Jari saya hanya berpegang pada keadaan power kord yang tak tahu hujung pangkalnya. Alunan yang keluar adalah alunan mudah dan ya, ianya punk dan sememangnya punk. Bagi saya muzik hebat datangnya dari musician bukan dari punkster, no big deal-lah.

Kenapa guna nama Nostalgia untuk band ni...? Idea siapa??

Time kitorang balik dari jamming di Batu Pahat. Saya saja-saja sebut perkataan ‘nostalgia’, rasa ‘sajak’ pulak. Jalan terus bila ahli yang lain bersetuju. 

Rasa sajak? Rasa sedap?

Sajak tu maknanya macam 'kena sangat lah'. Orang Jawa atau Banjar cakap macam tu.

Tak gusar ke kalau band ni tidak boleh diterima masa tu sebab muzik ‘hardcore’ yang tak macam ‘hardcore’. Satu lagi, susah orang luar Malaysia nak faham, sebab kebanyakan lagu dalam bahasa melayu?

Saya buat band bukannya nak jadi ikon hardcore, nak fikir boleh diterima atau tidak, boleh glamor ke tidak! Itu bukannya 'pasal'lah bagi saya. Yang penting Nostalgia bukan band K-Pop. Senang cakap, skop sebaran lagu Nostalgia hanya untuk rantau ni saja. Yang lain, terpulanglah. Memang objektif nak bagi pada scenester Malaysia saja, nak bagi punkster Malaysia faham lagu-lagu Nostalgia ni, kami tak assume nak bawa lagu Nostalgia ke benua lain. Kalau orang benua lain nak dengar lagu Nostalgia ni dan tak faham, mereka patut usahakanlah bagi boleh faham. Kalau tak nak, mereka boleh dengar mesej dari lagu band-band lain. Simple je, tak perlu jadi persoalan sangat isu ni.

Friday, January 11, 2013

Ampunkan aku Ma

tulisan ini dah ada dalam benak, namun aku zahirkannya semasa membaca buku ni "Ibu Yang Kusayang" tulisan Sharifah Hasnah Abdullah

Aku tahu Ma pernah kecewa dengan aku sebab berhenti sekolah agama masa darjah enam dengan alasan nak tumpu pada UPSR. Aku menyesal buat Ma sedih.

Aku tahu Ma pernah kecewa denganku bila tahu aku bersubahat mencuri tiang gol bola jaring dari sekolah untuk diubahsuai jadi rail untuk main skateboard. Aku menyesal.

Aku tahu Ma pernah kecewa denganku bila tangkap aku cuba hisap rokok masa zaman sekolah menengah. Dua kali! Ma nangis terduduk. Berjurai-jurai air matanya.

Pernah juga aku tinggikan suara sebab tak suka dikongkong. Ya lah, masa remaja. Darah tengah panas dan memberontak.

Sebab tu kini aku ceritakan segalanya pada Ma. Aku dah berubah. Aku tahu semua ni terjadi berkat doa siang malam Ma juga yang hendak anak-anaknya menjadi orang-orang yang baik dan beriman pada Allah.

Ampunkan aku Ma.



SYB: entri air mata lagi. apsal banyak entri air mata sekarang ni? hehe...

Tuesday, January 8, 2013

nyanyian masa kecil #1

Aku ingat nak ajar anak aku lagu ni nanti. Tak pasti 'trending' ke tak zaman dia sekolah nanti lagu ni. Tapi zaman aku sekolah rendah memang lagu ni hit top 40 di sekolah atau dikalangan adik-beradik. Nyanyi di perpustakaan.

Assalamualaikum... kum apa? Combat
Bat apa? Batman
Man apa? Mentol
Tol apa? Tolak
Lak apa? Laksa
Sa apa? Sepak
Pak apa? Pakcik
Cik apa? Cicak
Cak apa? Cawan
Wan apa? One two three four five six seven eight nine ten
Ten apa? Tembak
Bak apa? Bak duit
Duit apa? Duit Jepun
Pun apa? Pontianak
Nak apa? Nak CEKIK!!!

(lepas tu buat aksi nak cekik orang)

Monday, January 7, 2013

Buku

Adik-beradik emak aku ada yang menulis buku.

Abang sulung Ustaz Jaafar Hassan tulis buku pasal ibadat dan doa-doa.

Abang lagi satu Prof. Abdul Jalil Hassan tulis buku pasal kebahagiaan hidup berumah tangga.

Adik bongsu Dr. Fauziah Hassan tulis tentang kesihatan wanita dan sakit puan.

Aku bukan ustaz, bukan professor bukan juga doktor. Namun aku ada juga tulis buku. Tapi aku rasa buku aku 'dok paka gawa', tak payahlah ahli keluarga aku baca. Satu hari nanti aku nak tulis juga buku yang ahli keluarga aku boleh baca. Inspirasi dari Awang Goneng, Shahnon Ahmad dan A. Samad Said...

Amin.

Sunday, January 6, 2013

Tok Su


Dulu masa kecil aku manja dengan Tok Su. Tok Su suka layan dan manjakan aku. Selalu aku tidur dalam ribaannya. Kalau aku kena gigit nyamuk, dia akan garukan aku. Aku ingat itu sampai saat ini sebab cara dia garu agak unik. Sangat lembut. Tidak menggunakan kuku. Kalau air teh o aku panas bila dihidang orang, dia tiupkan.

Tok Su bukanlah nenek kandung kami. Dia “tukang masak” arwah Pa semasa belajar dan tinggal bujang di UM, kalau tak silap. Dia baik dengan Pa. Jadi bila Pa bertugas di luar Negara dan bawa keluarga kami ke sana, turut dibawa ke sana adalah Chik (ibu Pa), Achik (adik Pa) dan juga Tok Su (untuk membantu di rumah di sana). Nak dijadikan kisah, aku manjalah dengan Tok Su.

Dulu-dulu Tok Su berniaga pisang goreng dengan anaknya Kak Mah di hadapan rumah mereka di Kampung Cabang Tiga. Aku ingat sekali tu aku dan kakak aku ikut arwah Pa pulang ke kampung. Tak tahu apa kes kami bercadang untuk tidur di rumah Tok Su mungkin selama dua hari satu malam. Pa tidur di rumah Chik di Kampung Petani dan ahli keluarga lain tidak balik kampung masa tu. Hidup suasana kampung serba sederhana. Aku masih ingat di rumahnya ada sawang pada siling. Aku menanyakan padanya “bakpe rumoh Tok Su banyok spider web?” Tok Su ketawa besar sampai keluar air mata bila dengar pertanyaan aku itu.

Tiap tahun pada Raya Puasa, rumah Tok Su menjadi rumah yang wajib kami bertandang. Masakan di rumahnya pasti sedap. Mungkin kerana Kak Mah juga kerja berniaga makanan di kantin dan kedai makan. Tahun lepas, pertama kali isteri dan anak aku beraya di rumah Tok Su. Tok Su sangat gembira dapat jumpa anak aku, ya lah dulu aku kecil-kecil dia jaga aku. Sekarang aku dah jadi ayah orang! Tok Su orangnya selalu ke ‘surabala’ dan juga mengajar orang mengaji kecuali kalau dia kurang sihat atau sakit ‘reboh’.

Rasanya lepas ni kami mungkin jarang ke rumahnya lagi walaupun Hari Raya kerana Tok Su telah berpindah ke ‘takah tiga’ yakni masuk alam kubur minggu lepas. Al-fatihah. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

SYB: Foto arwah yang paling aku ingat dalam simpanan keluargaku adalah arwah sedang menggoreng sesuatu di kuali.

Ulasan: I See Dumb People "Let's Berdesup" CD





Dulu-dulu aku selalu baca dalam zine dan sekarang juga ada aku baca di facebook sesetengah yang berpendapat agama tidak boleh dicampuradukkan dalam hardcore punk dan juga subculture atau muzik-muzik lain. Bagi aku sekarang, Islam itu adalah agama yang syumul yakni cara hidup yang lengkap. Bermakna setiap perkara seorang muslim itu buat, mesti ambilkira dari sudut hukum syarak. Tak kiralah muzik, sukan dan minat-minat yang lain. Punk Rock bukan (lagi) cara hidup untuk aku, kerana cara hidup aku ialah Islam. Tapi aku suka dengan muzik dan idea punk rock juga. 

Kebelakangan ni aku ada temui beberapa band yang banyak nyanyikan lirik yang berunsur ketuhanan/Islamik seperti contoh Skinbasher yang ada menyanyi tentang anti minuman keras dan memuji Tuhan. Dalam temuramah dengan majalah ROTTW, mereka ada menyatakan keengganan mereka untuk bermain gig di tempat yang menjual minuman keras. Sebuah band baru dari Pontian menamakan nama band mereka Rocket To Mecca juga sudah kongsi lagu pertama rakaman mereka bertajuk ‘Sedar’ yang isinya berkisarkan pesanan supaya ingat pada agama dan jangan hanya mengejar nikmat dunia sahaja. Antara contoh lain dari Indonesia adalah The Forty’s Accident (Muslimcore, dengan gaya seperti Youth Of Today) dan GunXRose (Thrashcore anti-penyembahan berhala dan anti-zionis). 

Sebuah lagi band yang agak aktif dan banyak main show-show besar kini adalah I See Dumb People. Dalam e.p mereka ‘Let’s Berdesup’ rata-rata lirik mereka berbaur pesanan Islamik, dari penghayatan aku. Ada lirik anti penagihan/penyalahgunaan dadah dan menganjurkan untuk cari kebenaran dan ingat pada Tuhan (Duri Sendiri), anti Politik kotor? Korupsi, ahli politik gila kuasa? (Korupsi Ideologi), Anti- Judi/tikam nombor (TOTO = takde otak, tipu orang) dan juga mungkin tentang ajaran sesat, syiah, ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Islam sebenar, mungkin (Dakwat Merah). Secara muziknya, mereka menggelarkan muzik bawaan mereka, 3rd Wave ska…ska punk rancak dengan campuran muzik-muzik lain. Sedap lagu-lagu dalam CD ni, terutama lagu ‘Is it Me Or My World’.

Bagi aku tiada masalah nak campurkan elemen ketuhanan dan Islamik dalam lagu-lagu hardcore/punk, heavy metal dan lain-lain.

Thursday, January 3, 2013

Tuesday, January 1, 2013

Ambang 13 Dataran Kemerdekaan Shah Alam: the report

Kali ni aku gerak dari rumah jam 8 pm, dan sempat solat Isyak berjemaah. Yang lepas punya tak sempat sebab sampai-sampai orang dah abis solat Isyak. Kesimpulan acara ni memang bukan sambutan tahun baru. Cuma acara alternatif kepada konsert-konsert dan acara keramaian lain yang dianjurkan sempena tahun baru. Tiada countdown. Oleh kerana acara dianjurkan oleh Kerajaan Selangor, memang ada selit kempen sikit, okeylah sebab dekat nak PRU 13.

Air mata aku berjurai-jurai turun masa Ali XPDC nyanyi lagu Obat Hati. Sebak. Entah kenapa. Mungkin sebab ada rezeki untuk "berkumpul dengan orang-orang soleh" macam dalam lirik lagu tu. Tahun lepas Ustaz Azhar Idrus (UAI) kata dia dihubungi oleh seorang rocker yang terkenal dan ramai pengikut. Aku rasa orang tu adalah Ali XPDC.

Acara-acara lain macam biasa selebriti-selebriti undangan diberi tugas menanya soalan pada UAI terutamanya dalam hal bidang masing-masing; lakonan, muzik, sukan dan seputar isu-isu semasa dan juga soalan dari penonton yang dikirim dalam bentuk lipatan kertas. 

Apa yang aku perasan artis-artis yang berhijrah ni memang sangat-sangat teruja dapat berjumpa dan berkongsi pentas dengan Ustaz Azhar Idrus. Rata-ratanya aku tengok macam pertama kali jumpa UAI seperti Pierre Andre, Kamal Adli, Malik Noor, dan Aziz M. Osman. Dianggarkan 120, 000 pengunjung datang ke acara tersebut yang berlanjutan sehingga jam 1 pagi.

SYB: aku perasan kawan-kawan punk/hc/metal/indie pun ramai follow UAI ni. Aku kira sangat besar jasa UAI ni pada anak muda Malaysia zaman sekarang. Semuanya kerana pendekatan yang digunakan, semuanya boleh masuk, macam slogannya "Orang Muda, Geng Kite"

Photo (clockwise): Sheikh Al-Soubuni, UAI, Ustaz Haslin a.k.a Ustaz Bollywood, Ali XPDC.