Friday, March 11, 2016

Cerita Kanak-kanak #1: Pengembaraan Tiga Puteri part 2


Tiba malam minggu, Hazirah dan Amirah pergi berterbangan di langit. Sedang mereka terbang, mereka terserempak dengan seorang lagi puteri yang juga sedang terbang.

"Hai, kamu pun makan bintang dari pokok aneh? Siapa nama kamu?" tanya Hazirah.

"Nama saya Puteri Nia. Ya, saya makan tiga keping bintang..." jawab Nia.

"Jom kita pergi ke atas sana, malam ni bintang-bintang ada buat persembahan" ajak Amirah.

Mereka terbang bersama sehingga sampai ke kelompok bintang-bintang yang sedang membuat persembahan nyanyian. Mereka memang rockstar, namun mereka bukanlah menyanyikan lagu 'Twinkle Twinkle Little Star' versi bahasa apa sekalipun.

Mereka hanya menyanyikan lagu-lagu post rock dan space rock. Selesai persembahan tiga buah lagu yang berdurasi setengah jam, mereka menepuk tangan untuk menandakan persembahan tadi hebat. Nia ambil peluang untuk menemuramah Ghazi, spoke person band Young Blurs. Temuramah ini akan dimuatkan dalam zinenya, Mash Potato.

"Kenapa kamu memilih konsep post rock dan space rock untuk Young Blurs?" tanya Nia.

"Nak main punk atau thrash takut bergegar langit dan mengejutkan penduduk bumi pula, jadi kami pasrah dan setia dengan konsep kami sekarang ini" jawab Ghazi.

Setelah selesai temuramah; Hazirah, Amirah dan Nia terbang lagi dan berjumpa pula dengan Mun, iaitu sang bulan. Mun kelihatan sedih dan tidak bermaya. Amirah lantas bertanya, "kenapa kamu menangis Mun?"

"Aku demam, mungkin kerana jerebu teruk. Aku batuk dan aku risau tak dapat berkhidmat dengan baik. Nanti malam akan menjadi semakin gelap jika demam dan batuk aku bertambah teruk," jelas Mun.

Mendengar keluhan Mun, Hazirah segera terbang ke Jabatan Kecemasan Hospital Selayang Pandang yang beroperasi 24 jam. Selesai mendapatkan ubat batuk dan demam, Hazirah lantas menyusup membelah awan dan sampai pada Mun dan dua orang rakannya tadi.

Mun terus memakan ubat demam dan batuk yang diberikan oleh Hazirah. Dia kembali ceria dan bersungguh untuk meneruskan khidmatnya menerangi malam-malam di muka bumi...

Hazirah, Amirah dan Nia segera terbang ke bilik tidur masing-masing. Mereka harus sampai sebelum muazzin melaungkan azan subuh.


Monday, March 7, 2016

Cerita Kanak-kanak #1: Pengembaraan 3 Putri part 1

Kebelakangan ni, bila aku memandu dan bawa Hazirah, aku selalu bercerita padanya. Banyak cerita yang aku reka sendiri on the spot. Kadang-kadang aku rasa cerita yang aku reka on the spot tu macam menarik juga. Dari hilang macam tu je, baik aku tulis dalam blog. Kadang-kadang kalau aku cerita balik cerita yang aku reka tu pada Hazirah, dia boleh hafal dah dan tegur kalau aku lupa atau saja nak ringkaskan cerita. Kebanyakan tajuk Hazirah yang bagi, aku cuba reka cerita sebaik mungkin. Mungkin boleh terbitkan zine cerita kanak-kanak.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PRINCESS DAN POKOK BINTANG

Pada suatu hari, Princess Hazirah dan Princess Amirah berjalan-jalan dalam hutan di hujung kampung. Mereka berasa lapar dan ternampak pokok pisang. Mereka lalu menyuruh monyet yang ada di situ untuk memberikan mereka sebiji pisang seorang lalu memakannya.

Mereka berjalan terus dan nampak pokok epal. Princess Hazirah dan Amirah lalu memanjat pokok epal dan memakan epal sebiji seorang. Nyum Nyum!

Setelah turun dari pokok epal, hari sudah makin senja. Mereka ternampak pula sebuah pokok yang buahnya berkelip-kelip. Mereka menghampiri pokok tersebut. Kelihatan pada pokok rendang tersebut, buahnya berbentuk kepingan bintang. Bukan belimbing, tapi bintang!

Princess Amirah lalu bertanya, "Nak makan ke buah ni? Macam bintang!"

Princess Hazirah menelan air liur terasa nak mencuba buah dari pokok yang aneh tersebut.

"Jomlah kita cuba. Mesti sedap ni..."

Mereka lalu memetik bintang dari pokok tersebut dan memakan sekeping seorang. Secara tiba-tiba, mereka terapung-apung di udara dan terus terbang secara sendiri. Mereka cuba mengawal badan mereka yang laju terbang ke udara.

Mereka terjumpa sebiji bintang di udara. Bintang tersebut lalu menyapa Princess Hazirah dan Princess Amirah.

"Macam mana kamu berdua boleh terbang?" tanya si Bintang.

"Kami makan bintang yang tumbuh di pokok aneh dalam hutan", jawab Princess Amirah.

"Tiba-tiba kami boleh terbang", sambung Princess Hazirah.

"Ohh...pokok tu, tak ramai yang tahu tentang pokok tu. Mulai sekarang kamu berdua boleh terbang. Tapi hati-hati ya, mula-mula ni mungkin susah nak kawal penerbangan. Jangan laju-laju ya", pesan si Bintang.

Keesokannya, mereka tiba di sekolah.

"Hazirah dan Amirah, mana Atuk kamu? Kamu datang dengan siapa hari ini?" tanya cikgu.

"Oh, harini kami datang sendiri cikgu", jawab Amirah.

"Kami terbang ke sekolah cikgu!" sambung mereka serentak.