Friday, March 11, 2016

Cerita Kanak-kanak #1: Pengembaraan Tiga Puteri part 2


Tiba malam minggu, Hazirah dan Amirah pergi berterbangan di langit. Sedang mereka terbang, mereka terserempak dengan seorang lagi puteri yang juga sedang terbang.

"Hai, kamu pun makan bintang dari pokok aneh? Siapa nama kamu?" tanya Hazirah.

"Nama saya Puteri Nia. Ya, saya makan tiga keping bintang..." jawab Nia.

"Jom kita pergi ke atas sana, malam ni bintang-bintang ada buat persembahan" ajak Amirah.

Mereka terbang bersama sehingga sampai ke kelompok bintang-bintang yang sedang membuat persembahan nyanyian. Mereka memang rockstar, namun mereka bukanlah menyanyikan lagu 'Twinkle Twinkle Little Star' versi bahasa apa sekalipun.

Mereka hanya menyanyikan lagu-lagu post rock dan space rock. Selesai persembahan tiga buah lagu yang berdurasi setengah jam, mereka menepuk tangan untuk menandakan persembahan tadi hebat. Nia ambil peluang untuk menemuramah Ghazi, spoke person band Young Blurs. Temuramah ini akan dimuatkan dalam zinenya, Mash Potato.

"Kenapa kamu memilih konsep post rock dan space rock untuk Young Blurs?" tanya Nia.

"Nak main punk atau thrash takut bergegar langit dan mengejutkan penduduk bumi pula, jadi kami pasrah dan setia dengan konsep kami sekarang ini" jawab Ghazi.

Setelah selesai temuramah; Hazirah, Amirah dan Nia terbang lagi dan berjumpa pula dengan Mun, iaitu sang bulan. Mun kelihatan sedih dan tidak bermaya. Amirah lantas bertanya, "kenapa kamu menangis Mun?"

"Aku demam, mungkin kerana jerebu teruk. Aku batuk dan aku risau tak dapat berkhidmat dengan baik. Nanti malam akan menjadi semakin gelap jika demam dan batuk aku bertambah teruk," jelas Mun.

Mendengar keluhan Mun, Hazirah segera terbang ke Jabatan Kecemasan Hospital Selayang Pandang yang beroperasi 24 jam. Selesai mendapatkan ubat batuk dan demam, Hazirah lantas menyusup membelah awan dan sampai pada Mun dan dua orang rakannya tadi.

Mun terus memakan ubat demam dan batuk yang diberikan oleh Hazirah. Dia kembali ceria dan bersungguh untuk meneruskan khidmatnya menerangi malam-malam di muka bumi...

Hazirah, Amirah dan Nia segera terbang ke bilik tidur masing-masing. Mereka harus sampai sebelum muazzin melaungkan azan subuh.


No comments: