Tuesday, November 22, 2011

Ulasan: Mencari Jalan Pulang (Kassim Ahmad)

Islam itu mudah, dan perlu dipermudahkan.

Dah lama aku usung buku ni ke hulu ke hilir. Tapi baru khatam semalam. Aku jenis baca buku ikut mood. Kejap baca buku tu, kejap baca buku ni. Jadi, nak menghabiskan baca satu buku tu sangat lama. Dan nak review pun banyak dah lupa, haha! Bedallah. Buku ni versi bahasa Inggeris dah keluar, aku baru nak review yang bahasa melayu punya, tapi better late than never.

Secara kasarnya, buku ini adalah sebuah memoir oleh pengarangnya. Kassim Ahmad seorang pelajar pintar, advanced, dan terpilih. Buku ini dibuka dengan latar belakang keluarganya yang hidup susah. Mangsa sistem. Keluarganya terdiri dari kaum petani dan guru agama. Namun ayahnya yang guru agama tak pernah mengajar mengkaji Quran-hanya sekadar membaca.


Kehidupan keluarga yang daif membuatkan pelajar pintar ini berminat dengan politik sehingga mengepalai Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 18 tahun. Namun selepas 18 tahun, dia dengan berat hati dan titisan air mata terpaksa meninggalkan parti dan kawan-kawan baik dalam parti kerana parti ini memperjuangkan perjuangan yang terpesong dari landasan. Pengarang ingin mencari jalan pulang (seperti tajuk bukunya), jalan yang lurus (Islam).

Ini membuatkan aku mengaitkan kisah pengarang dengan diri aku yang sudah sepuluh tahun aktif dan produktif dengan dunia punk rock. Mungkin aku perlu mengurangkan aktiviti punk rock. Bukan kerana ianya negatif. Ianya banyak positif. Tetapi aku ingin kembali dan memperjuangkan jalan yang lurus. Perjuangan yang positif jika dikaitkan dengan akhirat, ianya lebih bermakna. Jika hanya untuk dunia, terasa kosong -hidup ini hanya sementara. Tetapi untuk meninggalkan kawan-kawan yang disayangi yang aku peroleh dari 'punk rock', takkan sama sekali.

Pengarang ini juga adalah seorang yang kontroversi kerana tulisannya yang dibukukan sebagai 'Hadis-Satu Penilaian Semula' dan 'Hadis-Jawapan Kepada Pengkritik'. Dia dicop sebagai anti-hadis. Aku pun tak boleh komen lebih, sebab belum baca buku tersebut. 

Pesan buku ini adalah, semua orang Islam yang tidak menguasai bahasa arab termasuk rakyat Malaysia perlu mengkaji Quran. Beli tafsir Quran dalam bahasa yang difahami dan kaji maksud dan isi kandungan Quran. Ramai antara kita diajar untuk pandai membaca dan melagukan ayat Quran dan diajar ini mendatangkan pahala yang besar. Sedangkan maksud ayat-ayat Quran itu tidak kita mengertikan. Golongan ini dikatakan 'mungkin juga digolongkan dalam golongan yang meninggalkan Quran'. Pengarang adalah seorang pengkaji Quran dan mengkaji Quran sekurang-kurangnya setengah jam setiap pagi. Ini patut dicontohi! Dan dia mempunyai 15 buah tafsir yang berlainan.


Aku masih ingat semasa aku berumur 20 atau 21 tahun apabila emak aku pesan suruh baca Quran. Aku memberitahunya aku ingin mendapatkan tafsir Quran supaya boleh faham maksudnya. Selang beberapa hari dia menghadiahkan aku sebuah tafsir Quran. Dia menceritakan pada aku, kawannya menitiskan air mata bila tahu akan cerita ini. Titik tolak aku ingin mendapatkan tafsir Quran adalah kerana kawan aku yang tak sukakan agama Islam kerana orang-orang Islam di Malaysia diajar untuk membaca dan mengkhatam Quran tetapi tidak mempelajari maksud ayat Quran.


Aku suka dengan kejujuran pengarang yang mengatakan dia mengantuk ketika khutbah jumaat. Mungkin perkara begini tidak perlu ditulis tetapi pengarang jujur. Aku dapat kaitkan dengan diri aku yang selalu juga mengantuk ketika khutbah jumaat dan kadang-kadang tidur krooh krooh. Orang di Terengganu, Kedah dan Kelantan bertuah kerana memperoleh cuti pada hari Jumaat. Itulah yang sepatutnya. Cuti pada hari Jumaat untuk negara Islam. Supaya boleh berehat dan tidak mengantuk semasa khutbah jumaat dan boleh ke masjid lebih awal dan tidar terkejar-kejar. Pada yang dah berumah tangga, malam jumaat sunat 'overtime'...

Islam itu mudah. Dan perlu dimudahkan. Itu juga pesan pengarang dalam buku ini. Beli. Baca. Kaji. Ambil yang positif. Buang yang negatif. Begitulah untuk semuanya.


Allahua'lam.

No comments: