Sunday, October 28, 2012

Mencari “Malaysia” dalam industri rock tempatan

Sejak kebelakangan ni, aku dah jadi “jaded” untuk menerokai lagu-lagu punk/hardcore baru terutamanya dari luar negara. Aku lebih suka mendengar apa yang aku dah dengar terutama dari zaman remaja aku di era 90an. Aku juga beli keluaran terbaru beberapa band tempatan, tapi aku cuba cari band tempatan yang ada identiti tempatan. Aku dah muak dengan band tempatan yang nak jadi sebijik macam band dari barat. Perkara ni bukan aku pinta, ia datang semulajadi. Sekurang-kurangnya dalam satu ep atau album ada beberapa lagu berbahasa melayu, cina, india, atau suku kaum Sabah dan Sarawak pun kira bolehlah.


Memang dari dulu aku lebih hargai produk tempatan berbanding produk-produk dari luar negara terutamanya band dan lagu-lagu tempatan. Tapi lagu-lagu tempatan pun kebanyakannya tiada beza dan bunyi tersendiri berbanding band-band dari luar. Memang band-band luar juga jadi rujukan mereka. Band-band di Malaysia patut cuba cari bunyi yang agak berlainan dari apa yang ada di luar sana. 

Aku juga suka band-band yang berlirik bahasa Melayu dan berbunyi melayu. Aku ada dengar Butterfingers ‘Kembali’ dan Monoloque ‘Jejak Tanah’ dan aku sangat sukakan album-album ini. Walaupun dari segi bunyi dan stail muzik, boleh dikatakan macam muzik dari barat juga kebanyakannya tapi oleh sebab lirik dan lenggok mereka menggunakan pantun-pantun dan bahasa melayu klasik membuatkan ianya kedengaran sangat “Malaysia”.
Ingat lagi lagu 'Chrome' dari album '1.2 Milligrams' dari Butterfingers? Aku ingat ada DJ radio yang aku suka dengar masa tahun 1995-1997 bernama Godfrey, pernah menggelarkan lagu ni sebagai “Lagu Ikan Kekek” kerana ada bahagian lagu yang bunyi macam lagu tradisional melayu tersebut. D’Cromok juga pernah menggabungkan lagu ‘Ulek Mayang’ ke dalam lagu metal mereka. One Buck Short ada masukkan muzik dikir barat kedalam lagu politikal kiri mereka iaitu, "Kelibat Konspirasi" dan kalau tak silap aku, lagu "Gadis Elektrik" dari Mohd Jayzuan ada menggunakan kompang (?).

Dari segi bahasa, aku ada terbaca baru ni “band ekstrim metal pertama yang menggunakan bahasa Melayu untuk lirik mereka adalah Blackfire”. Dan aku juga tengok dan baca di youtube, Langsuyr menggunakan pantun-pantun klasik untuk lagu-lagu death metal mereka. Kemudian lahirlah scene "Eastern Metal".

Mengenai cara pemakaian pula, aku suka dengan Radhi OAG yang selalu tampil bersongkok walaupun ada kontroversi sikit, tapi biasalah tu Radhi dan kontroversi. Baru-baru ni aku tengok di TV, dia ada jadi pengacara satu rancangan dan dia pakai baju macam pendekar melayu zaman dulu kala, sampin dan juga songkok. Loque dan Monoloque juga selalu pakai tengkolok, kot, kain pelikat ala-ala orang melayu dulu-dulu. Ana Raffali pula berbaju kurung. Aku rasa dah tiba masa benda-benda macam ni dihargai semula oleh orang-orang muda Malaysia yang rock. 



Beberapa ketika dulu, sebuah band thrashcore dari Indonesia, Domestik Doktrin pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur dan sang penyanyi berpakaian ala-ala petani ke bendang. Dia memakai baju kemeja longgar, berkain sarung batik, bertopi ala-ala “tudung saji” tu dan berkaki ayam.  

Aku ada cuba dengar Space Gambus Eksperimen. Dengan alat muzik Malaysia yang digunakan, aku sukakannya. Kalau aku ni pandai main alat muzik atau cepat tangkap, aku ingat aku nak belajar main gambus dan buat lagu punk gambus. Malangnya, aku bukanlah pandai main alat muzik.

3 comments:

Dr. Bentara said...

aku harap aku ada masa terluang lebih sikit tapi malangnya takde. Kalau ada, kita boleh mix metal/punk + nusantara.

wishful thinking.

nizamuddin ahmad said...

rasanya Dr. Bentara dah bnyk berjasa dengan Langsuyr...

tahniah.

sayangnya aku tak ikuti Langsuyr dulu. tapi baru nk download full discography...

:)

Bungkot said...

cuba http://www.facebook.com/nervedeless