Saturday, January 23, 2021

TEMURAMAH: DIRTY DIVIDER

PUNK SOKMO! ITULAH BATTLECRY SCENE PUNK TERENGGANU DAN BAND DIRTY DIVIDER ANTARA BAND YANG BERPEGANG PADA SLOGAN TERSEBUT ATAU DALAM BAHASA KAMPUNG TOK JIRING "PUNK NOT DEAD". DITUBUHKAN PADA TAHUN 1996, DAN SEHINGGA KINI MASIH PRODUKTIF MENULIS LAGU DAN MENGELUARKAN MATERIAL FIZIKAL, IKUTI TEMUBUAL YANG AKU BUAT MELALUI WHATSAPP DENGAN MUBING, FRONTMAN MEREKA DIKALA CUACA DI TERENGGANU DILANDA MUSIM TENGKUJUH GELOMBANG KE-6.

 

 


 

1. Cerita sikit tentang sejarah penubuhan band Dirty Divider dan juga line-up dulu dan terkini…

 

Dirty Divider ditubuhkan pada awal 1996 dengan nama The Big Thing yang dianggotai oleh Rano-bass, Rudi-Drum dan Bing-Guitar/Vokal. Pada awalnya kami hanya bermain music hanya untuk mengisi waktu terluang kerana pada masa itu selain berlumba basikal BMX, permainan video Tetris dan Sega… main music ini menjadi hobi kami. Tiada gejet-gejet canggih macam sekarang ni masa ni, lumba motor jauh sekali. Selepas Rano dan Rudi (dua beradik) berpindah ke Pahang, Nazri Punk (sekarang berniaga di stesen bas KT) join sebagai pemain bass dan Nizang (sekarang di KL-bermain muzik di club) sebagai pemain drum.

 

Asal nama Dirty Divider adalah ilham dari Nazri dimana ketika itu kami sedang minum di sebuah gerai berdekatan divider jalan. Itulah asal-usul nama band ini yang sekali gus menerapkan music itu tiada halangan genre-nya dan boleh menyatukan kita semua tidak kira usia, darjat atau sebagainya jika ‘divider yang dirty itu tiada’.

 

Oleh kerana banyak tanggungjawab Nazri dengan kerjaya beliau, beliau hanya main sekali-sekala dengan DD dan Dol (berniaga di stesen bas KT-Menjahit) pula join sebagai pemain bass. Pada masa itu, kawan-kawan yang lain datang bermain bersama seperti Amar-gitar/vocal, Syahid-gitar, Koneng-bass. Pada tahun 2000, DD berehat lama lanjutan penghijrahan Nizang ke KL dan Bing pula masuk University. Pada masa itu  juga, kaki-kaki ‘jamming’ sudah berkurangan. DD hanya bermain menggunakan pemain drum dari kalangan kawan-kawan. Pada awal tahun 2019, Jon mula menyertai DD sebagai pemain drum dan kekal hingga kini termasuk Dol dan Bing.

 

2. Senaraikan band-band dan perkara yang mempengaruhi set mu dalam berkarya dalam band ni.

 

Kalau nak diikutkan banyak band dan genre sebab kami bertiga mempunyai pengaruh yang berlainan tetapi minat yang sama dalam melodi music itu sendiri. Kami mendengar pelbagai genre music dari irama punk, asli, folk, country, blues, rock, goth, metal, pop, tradisional dan banyak tidak kira dari luar atau dalam negara. Begitu juga dengan band-band samada band tersebut dianggotai oleh lelaki atau wanita. Kebanyakan perkara yang mempengaruhi kami dalam berkarya adalah dari segi perkara yang tidak normal yang kita lakukan dalam kehidupan sekarang atau akan datang. Sebagai contoh, sampah kita buang di tempat sepatutnya, bukan merata. Dari situ kami buat lagu. Tapi prosesnya terbalik, lagu dulu baru melodi. Begitu juga dari segi perkara yang sepatutnya berlaku mengikut normal, tapi tidak berlaku sedemikian.

 

3. Kalau tak silap, ‘Rebel Scum’ adalah keluaran ketiga oleh Dirty Divider, boleh senaraikan rilisan sebelum ni ‘Zero To Loose’ dan ‘Sugar And Honey’?

 

Ya, Rebel Scum yang ketiga dan rilisan sebelum ini telah dinyatakan tu diatas.

 

4.     Boleh ceritakan sikit tentang lirik-lirik dalam E.P ‘Rebel Scum’? Siapa yang buat lagu dan lirik?

 

Owh, boleh. Lirik kami banyak bahasa kiasan sebenarnya. Seperti lagu ‘Bored Lucy’, lagu tu berkisar pasal keluarga dimana walau apa yang berlaku; sakit atau sihat… keluargalah yang akan menemani kita. Orang lain akan melawat waktu kita sakit je. Kalau free, masa mati sekali dia datang, tu je lah. Lagu ‘Cut the Crap’ pula pasal cakap je lebih, bila suruh buat… tak tahu. ‘Dirty Divider’ lagu pasal band kami. ‘Fallin Fallin’ pasal khayal. ‘Revolutionary Suicide’ pasal Kak Mah Jibby dan ‘Sometimes’ pula pasal kawan-kawan kita yang jauh dan dekat. Yang buat lagu adalah Bing dan Dol, Lirik kami bertiga tambah tolak tepuk meja untuk siapkan. Semua lagu kami rekod di Erylasia Studio.

 

5. Macam mana boleh terjadi kerjasama dengan District Records untuk rilisan kali ini. Apakah berpuas hati dengan rilisan oleh District Records?

 

Perkenalan aku dan empunya District Records telah lama terjalin semasa di KL. District Records pada masa tersebut cuba untuk manaikkan semula scene music negara dengan idea-idea baru band tempatan. Kudos to District Records. Ya, kami berpuas hati tapi masih belum puas berkarya.

 


 

6. Aku ada terbaca sepatutnya ada lagi lagu yang dirakam tapi hanya enam lagu dimuatkan di dalam ‘Rebel Scum’. Kenapa tidak dimasukkan semua?

 

Ya, memang kami rekod banyak lagu, tapi apabila didengar berkali-kali, ulang-ulang, tak sampai inzal. Maka hanya yang memenuhi tahap QC kami pilih untuk dimasukkan dalam EP ‘Rebel Scum’.

 

7. Aku dengar cerita venue gig yang happening di Dungun Museca Studio telah ditutup kerana PKP. Apa harapan Dirty Divider kepada scene Terengganu?

 

Harapan DD agar scene Terengganu ni kembali meriah selepas PKP dan ada venue-venue, event-event bagi mengetengahkan band-band baru untuk menyampaikan karya mereka.

 

8. Aku rasa agak cliché untuk bertanya ini, tapi aku tanya jugoklah. Scene Underground di Terengganu adalah antara yang terawal di Malaysia namun sekarang tak banyak band yang mengeluarkan rilisan fizikal berbanding negeri-negeri lain. Apa komen mu?

 

Di Terengganu tak banyak tempat untuk band-band jamming dan tiada tempat untuk buat recording. Macam kami dulu guna walkman dan radio je untuk rekod. Tambahan pula, tempat nak berkumpul sembang-sembang bab music ni dulu di studio jamming, hari minggu memang ke situ. Sekarang ni kalau lepak di kedai, kena habiskan online gamming dan update status media so sial. Kedai-kedai keset dan CD pun jarang orang pergi dah, semua lagu download je. Mana nak tengok dah budak-budak kelek gitar kapok sekarang nih zang oiiii main kat wakaf, gi rumah kawan-kawan cari chord lagu sampai putus tali kaset duk ulang cari kord.

 

9. Sekarang ni kita dalam fasa darurat politik di Malaysia. Sesungguhnya aku dah bosan nak ikuti perkembangan politik dan ahli politik di Malaysia ni. Ada komen tentang isu ini?

 

Politik ni macam game Pac Man!

 

10. Apa projek seterusnya oleh Dirty Divider? Sekarang pun tiada gig atau acara dibenarkan dan bahaya sebab Covid-19. Ada band-band dan organizer yang bikin show live online. Apa pendapat anda tentang ni?

 

Projek seterusnya adalah split dengan sebuah band dari KL, kami masih dalam proses untuk siapkan lima buah lagu.

 

11. Apa aktiviti ahli-ahli Dirty Divider, hari ni masuk PKP 2.0 hari kedua di Terengganu ni. Kelas online okay? Kedai buka?

 

Jon-kedai makan, beroperasi ikut S.O.P, Dol- menjahit, beroperasi mengikut S.O.P, Bing-menukang, operasi tak ikut S.O.P.

 

12. Aku rasa murid-murid akan terbeban, aku terfikir kalau satu keluarga ada 4-5 orang yang bersekolah dan semua memerlukan gajet untuk kelas online, susah juga tu… macam mana nak selesaikan tu.

 

Kerajaan ada stesen TV… buat la channel pendidikan selain puluhan channel untuk wow shop dan drama swasta pukul 7.00 malam!

 

13. Okeylah dah banyak soalan laridari  topik band. Ada apa-apa nak ditambah, dan kata-kata terakhir untuk pembaca?

 

Ya, aku harap jawapan aku akan dapat markah penuh, lulus atas pagar pun okey dah. Teruskan dengan minat anda kerana minat itu perlukan ketabahan! Peace, Love, Empathy…

 

 

DAPATKAN CD TERBARU DIRTY DIVIDER DARI DISTRICTRECORDS.BANDCAMP.COM

 

 


5 SOALAN: WENG

KITA DILANDA PKP 2.0! AKU TERPERANGKAP DI RUMAH TAK BOLEH KERJA. JADI AKU AMBIL LANGKAH SELESAIKAN KERJA-KERJA YANG TERTANGGUH. DI SINI AKU POS TEMUBUAL YANG AKU BUAT SEPTEMBER TAHUN LALU DENGAN WENG, SEBUAH PROJEK SKA PUNK ANTARA AJAI (STICK NO BILL) YANG BEKERJASAMA DENGAN AKMAL (TIM). CD MEREKA 'IS THIS EVEN SKAPUNK?' YANG MEMUATKAN 5 LAGU MASIH BOLEH DIBELI DARI AKU DAN JUGA DARI AJAI SENDIRI. ENJOI.


1. Macam mana projek muzik Weng ni boleh bermula dan kerjasama dengan Akmal?

 

Projek weng ni bermula ketika aku berada di rumah berkeseorangan sepanjang dua bulan PKP fasa pertama. Isteri dan anak-anak berada di kampung. Projek Weng ini dimulakan sebenarnya sebagai medium untuk aku merawat kemurungan ketika PKP. Lagu pertama yang dihasilkan ialah ‘Shine Bright’. Jika diteliti lirik lagu ‘Shine Bright’, ianya bermula dengan sedikit unsur-unsur depresi seperti ayat, "when all the madness push you up the wall" dan juga, "in your mind there's nothing but to burn it all". Ia sedikit sebanyak menunjukkan keadaan mental aku yang kurang stabil duduk keseorangan ketika PKP. Haha. Namun setelah lagu itu semakin berkembang, mental aku jugak semakin pulih.

 

Chorus dan juga verse selepas chorus juga mempunyai lirik-lirik yang lebih ceria dan bermotivasi. Seolah-olah lagu ini bermula dari kegelapan namun kembali bercahaya setelah tidak berputus asa. Kerjasama dengan Akmal adalah kerana memandangkan lagu dicipta ketika PKP, recording tidak dapat dilakukan di studio. Jadi aku pon menghubungi Akmal sama ada dia boleh tolong record gitar dan bass di rumahnya. Di rumah aku sendiri, aku ada microphone, jadi dengan mengguna software DAW dan program drum, aku boleh record vocal, gitar kapok, dan juga programming drum. Setelah siap bahagian aku, aku email semuanya kepada Akmal, dan dia buat selebihnya. Recording gitar, bass, mixing, mastering, semuanya hasil tangan Akmal yang teramat berbakat.

 

Sebenarnya, tiada plan pun untuk aku menghasilkan lagu-lagu lain selepas ‘Shine Bright’. Ia hanya projek syok sendiri untuk melepaskan geram dan juga sebagai salah satu cara untuk aku berkarya. Namun setelah lagu tersebut dipublish di Spotify dan lain-lain online platform, kata-kata semangat dari kawan-kawan lain memberi aku dorongan untuk terus menghasilkan muzik. Jadi di situ bermula langkah projek weng untuk release EP.

 

 


 

2. Lepas Stick No Bill, hang memang takde projek muzik kan?

 

Yup. Lepas Stick No Bill memang tiada project muzik lain. Last main untuk Stick No Bill rasanya tahun 2011. Tak berapa nak ingat dah. Tu lah, dah dekat 10 tahun tak berkarya dengan muzik. Maybe itu salah satu sebab kenapa rasa seronok sangat projek weng ni membuahkan hasil sampai boleh keluar EP.

 

 

3. Lirik-lirik lagu Weng tentang apa? Mana dapat idea nak tulis lirik?

 

Kebanyakan lagu Weng berkisarkan motivasi untuk melatih mental kita supaya tidak berputus asa. Kesihatan mental kadang-kadang tidak berapa dipandang berat oleh umum. Awareness untuk mental health tidak berapa meluas di Malaysia. Ramai dikalangan rakan-rakan kita sendiri yang dibelenggu kesihatan mental seperti anxiety dan panic attack. Ada juga yang sampai diagnos depresi dan perlu mengambil ubat. Dan kadang-kadang mereka ni terpaksa terseksa dengan bersendirian kerana takut untuk berkongsi dengan kawan-kawan dan keluarga. So basically inspirasi lagu-lagu Weng ni banyak berkisarkan motivasi dan nasihat untuk tidak takut atau malu untuk meminta bantuan dan sokongan sekiranya terseksa dengan kesihatan mental dan juga jangan sesekali berputus asa. Kadang-kadang kita ni bila rasa macam dah sampai penghujung jalan dan dah tak ada harapan, susah bagi kita untuk ingat yang sebenarnya kita masih ada kawan-kawan dan keluarga yang masih sayangkan kita.

 


 

4. Band-band apa yang mempengaruhi muzik Weng?

 

Sejujurnya band yang paling kuat mempengaruhi Weng adalah Stick No Bill sendiri. Munet dan Amert, gitaris dan jugak vocalis Stick No Bill, yang paling banyak mengajar aku tentang lagu-lagu dan juga band-band punk rock dan skapunk. Tidak dinafikan sound yang dibawa Stick No Bill banyak mempengaruhi sound Weng sendiri. Selain itu, aku jugak banyak dipengaruhi oleh Kemuri, band skapunk Jepun. Kemuri banyak mempengaruhi projek weng ini dari segi tempo skapunk yang laju dan upbeat dan jugak lirik-lirik lagu yang membawa mesej berkisarkan positive mental attitude dan juga unsur-unsur sekawan dan persahabatan. Influence yang besar jugak datang dari Plague of Happiness, band skapunk nombor 1 feveret aku. Walaupun dah lebih dua dekad POH berada di puncak scene punk di Malaysia, mereka masih mengekalkan attitude DIY punk yang mana aku sangat-sangat respect dan kagum. Aku jugak teramatlah minat Rancid dan The Interrupters. Namun aku tak berapa nak berbakat nak menghasilkan lagu yang mempunyai sound yang rancak dan lyrics yang catchy macam Rancid dan The Interrupters, haha.

 

TO BE CONTINUED...

Tuesday, November 12, 2019

ULASAN: Kah Kah Celaka ‘Jangan Berhenti’ CD



Aku memang mengikuti band ni sejak dari demo CD mereka ‘Demonstrasick’ yang dikeluarkan pada tahun 2017 dulu. Aku turut interview mereka dalam zine Mosh isu 18. Kini band punk rock dari Pontian ini datang dengan album penuh yang dirakam di Studio 46, Pasir Gudang. Album ini memuatkan 13 buah lagu termasuklah kesemua lagu-lagu dari demo CD mereka dulu yang dirakam kembali dan kedengaran lebih kemas dan mantap. Lagu favorite aku dalam demo mereka ‘Sang Pemimpin’ juga turut dirakam semula. Kalau nak tahu stail muzik mereka ada ala-ala Bunga Hitam, Sosial Sosial dan beberapa lagi band Indonesia yang lain. Beberapa lagu kedengaran lebih kearah hardcore seperti ‘Dead On Trap’, ‘Bahaya’ dan ‘Jangan Berhenti’.


Lirik berkisar macam-macam kisah termasuklah keinginan untuk bermain dalam band punk rock sejak pertama kali dengar Greenday dan Rancid, tentan dikejar oleh polis di demonstrasi, lagu gembira balik kampong berjumpa keluarga dan kawan sekampung dan lain-lain lagi. Walaupun banyak bernyanyi dalam bahasa melayu, mereka turut menyelitkan 3 lagu berbahasa Inggeris jadi bolehlah kawan-kawan di luar negara sing along bila mendengar lagu mereka nanti.



Apa yang menarik, Kah Kah Celaka ada rakamkan lagu nyanyian asal oleh Panklima berjudul ‘Dato Seri’ yang berlirik sinikal. Band Panklima yang aku tahu berasal dari Johor dan dianggotai oleh Wak Kang yang banyak buat persembahan dulu, tapi aku rasa tiada mengeluarkan sebarang proper release, correct me if I am wrong. Bes lagu ini, memang patut diabadikan dalam album, dan oleh band dari Johor juga. Memang sedap lagu ini.



Album ini ditutup dengan lagu ‘Demonstrasick’ versi akustik. Ya, lagu ini juga antara lagu yang paling nice dalam album ini. Membuatkan pendengar sing along bersama penyanyi utama band ini iaitu Chucky.



Aku suka dengan fotografi yang digunakan untuk kulit CD ini, gambar band dengan kereta dan alatan-alatan mereka disusun dengan konsep ‘tetris challenge’. Semangat betul! Packaging mereka juga jenis lipat macam album 'Tunjal' oleh Plague of Happiness, kemas juga.



Oh ya, mereka turut mengeluarkan video muzik untuk lagu ‘Jangan Berhenti’ yang turut memuatkan kawan-kawan serata Malaysia merakam nyanyian masing-masing untuk melengkapkan video ini. Mereka turut mengeluarkan video lirik untuk lagu ‘Intro’ pada hari ini.



CD ini hanya dicetak sebanyak 300 keping, cepat pesan dari mereka atau distro-distro yang menjualnya. Ada sticker free di dalam CD. Mereka turut menjual t-shirt dan totebag, so bolehlah beli sekali pakej.








-->

Monday, September 16, 2019

5 soalan: KEBAS RABAK

BES BETUL BAND KUANTAN NI, KEBAS RABAK... CHECK OUT LAGU-LAGU MELANKOLIK DAN JUGA LAGU HAPPY MEREKA, 'Oh No! Aku Jatuh Cinta Lagi'.



1. Salam Kebas Rabak, bagi aku nama band kalian ni unik dan bes betul. Ada cerita atau rahsia disebalik nama band ni?

Waalaikumusalam. Pertama, terima kasih diatas interview ini dan amat dihargai. Pasal nama band Kebas Rabak? Hahaha... setelah lama memikirkan nama band yang sesuai dengan aliran lagu-lagu yang dimainkan, kerna terlalu lama memikirkan akhirnya wujudlah "kebas rabak" kerna kebas tangan dan hancur rabak jari membuat lagu. Tiada cerita atau rahsia disebalik nama Kebas Rabak.

2. Dalam inlay CD ‘Kontineu-nsi’ ada mengatakan anda telah menanti 10 tahun untuk terbitkan, boleh ceritakan apa yang dimaksudkan dengan pernyataan ini? Kenapa lagu dirakam secara sikit-sikit?

Kesemua lagu dibuat pada tahun 2005 dimulai dengan tidak esok lusa direkod secara DIY dan terus mengolah lagu-lagu lain sehingga siap pada 2010 dan rekod dua lagu lagi 'Oh no!' dan 'Semua Biar Mati'. Dan seterusnya empat lagu lagi didalam album diolah sehingga 2014 kami siap rekod. Kerana tidak ingin cepat selesa dengan lagu-lagu yang direkod, kami bertahan lagi dengan mendengar dan terus mendengar apa yang kekurangan. Didalam masa yang sama mengunpul material-material baru. Sehinggalah 2018 kami rasa sudah cukup masa untuk ekperimentasi kerana takut kami makin terlambat pula kerana lagu-lagu baru sudah ada dan ambik keputusan untuk diriliskan sebagai discography album kerana kami telah menemukan identiti musik yang diinginkan. Dan kami perlu memberitahu menanti 10 tahun untuk rilis lagu-lagu tersebut dan untuk memberitahu yang lagu-lagu sudah lama siap untuk diriliskan pada pendengar dan band ini sudah wujud pada tahun 2005 lagi. Itulah sedikit sebanyak dapat dijelaskan sebab panjang ceritanya sebenar. Pening kalau nak dijelaskan.


3. Selain Radiohead dan Efek Rumah Kaca, aku dapat rasakan mood lagu seperti Andra and the Backbone, Payung Teduh dan juga Jamiroquai dalam beberapa lagu kalian. Adakah artis-artis ini ada memberi inspirasi atau pengaruh pada muzik kalian?
 

Setiap yang mendengar ada berbagai rasa yang berbeza pada sesuatu lagu. Kami dengar Payung Teduh, Andra, Jamiroquai tapi tidak menjadi sumber inspirasi dan memang Radiohead dan Efek Rumah Kaca influence kami yang menjadi sumber inspirasi. Ada beberapa lagi pengaruh muzik yang benar dijadikan sumber inspirasi seperti Tom Waits, Blind Melon, juga The Mars Volta tapi kami tidak sesekali ingin menjadi seperti mereka. Kami mencari element-element yang kami inginkan.


 


4. Aku sukakan design dan dan illustrasi dalam inlay CD kalian. Yang aku tahu, Yoyo pun pandai melukis. Adakah lukisan Yoyo diselitkan dalam inlay tersebut?
 

Terima kasih kerana menyukai design dan ilustrasi dalam inlay CD kami. Cover depan sudah lama diperam hasil lukisan Rafiz (Satwo) yang memang untuk dijadikan cover album. Bab Yoyo, memang Yoyo bisa melukis tapi didalam 'Kontineunsi', ilustrasi yang lain datangnya dari Akram, Asrul Noise Cave dan Kim yang juga melukiskan design cover belakang. Yoyo akan berada pada material baru nanti, dia sudah menunjukkan beberapa 
lukisan untuk material akan datang.



5. Dalam Review Uncle, suara vocal Akram sangat dipuji. Adakah Akram mendapat latihan formal untuk ini? Ada tips untuk mereka di luar yang minat untuk menyanyi?
 

Akram tidak belajar dimana-mana kelas vokal, hanya menyanyi saja tanpa bantuan ataupun guide. Menyanyilah melalui nada dan jangan tiru suara penyanyi lain.

Sunday, June 9, 2019

Ulasan: LORSA ‘Psycho Au Go-go’ demo CD (Diebetix Records)



LORSA atau singkatan terbarunya “Love Rocket Subvert Army” adalah sebuah band surf punk yang berpengkalan di Lembah Klang. Ini merupakan rilisan kedua mereka yang aku dapat, aku ada sebuah rilis berkulit warna kuning dari mereka sebelum ini...

Beberapa line-up mereka telah berubah namun halatuju muzik masih lebih kurang sama, namun kali ini lebih punk dengan banyak tempikan disamping petikan gitar surf laju mereka. Sebanyak enam lagu dimuatkan dengan tema-tema biasa band surf seperti hal-hal angkasalepas dan penyiasat peribadi. Rasa macam tengah tengok filem Mat Sentol pun ada.

Untuk menutup demo kali ini, mereka merakam lagu ‘Rise Above’ dari Black Flag dengan versi surf punk. Rilisan ini disertakan juga dengan sticker dan button percuma. Lirik dan band Bio turut diselitkan, bagi aku usaha band ini untuk menyelitkan item-item ini kedalam demo ini adalah sangat menyeronokkan macam beli kanak-kanak beli jajan dapat percuma mainan dan sticker.

Korang konteklah lorsamusic@gmail.com atau cari mereka di FB dan IG. Dapatkan demo ni sebelum kehabisan stok.



Tuesday, March 5, 2019

Ulasan: Iqbal M. 'PSJKB' CD (Luncai Emas)

Baru-baru ni, ada seorang ahli muzik mengatakan pengeluaran CD untuk band-band yang agak baru sudah tidak relevan, namun Iqbal M. dengan album baru mereka khabarnya berjaya menjual seribu unit CD dalam masa beberapa minggu sahaja. Tepuk dada tanya selera, aku rasa kalau band anda serius, adalah wajar mengeluarkan muzik anda dalam bentuk fizikal juga.

Mosh zine dijemput untuk ke sidang media album Iqbal M ‘PSJKB’ di The Bee hari ini namun kami tak dapat ke sana kerana urusan kerja. Alang-alang dah lama aku tunda untuk mengulas album ni, aku ulas sempena tarikh rasmi kelahiran album ni hari ini menurut kata Iqbal.



Aku mula menonton Iqbal M. ketika di Parti DuBook di Red Bugalow pada tahun 2013. Ketika set mereka Iqbal tiba-tiba datang ke arah aku dan mengetuk dada aku tiga kali macam ketuk pintu. Aku dengar sedap juga lagu-lagu mereka, ramai peminat sing along juga. Aku terus ke reruai untuk membeli CDEP mereka ‘Antara Dua Darjat’, aku jatuh cinta dan menonton video-video mereka di YouTube. Rupanya Iqbal memang follower aku di IG. Lepas tu aku ada tolong jualkan ‘A2D’ mereka, interview mereka untuk zine Mosh isu 17 dan Iqbal juga pernah order keropok lekor masa aku balik kampung.



Aku baru perasan, mereka suka gunakan akronim untuk tajuk album dan lagu-lagu mereka. Contohnya untuk lagu ‘Jangan Cakap Saja’, masa persembahan pentas mereka akan sebut ‘JCS’ sahaja. Jadi album ini menggunakan akronim ‘PSJKB’ yang membawa maksud ‘Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang’. Lapan lagu dipertaruhkan dalam album terbitan Luncai Emas ini dan diedarkan oleh Gudang Suara. Aku beli album ini masa mula-mula ia dikeluarkan di Atas Big Jan show, Bentley Damansara pada 26 Januari 2019, beratur panjang woi.

Dari pendengaran aku, album ni ada banyak pengaruh bunyian dari Butterfingers (album Malayneum dan ke atas), Monoloque dengan lirik-lirik nasihat ala Sheqal atau S.M. Salim. Semalam aku tengok Review Uncle di Tapau TV pun cakap macam ni, tapi aku tak meniru Haq dan Adly Syairi, memang aku rasa macam ni sebelum tengok ulasan diorang lagi. Namun lirik dari Iqbal ni macam main bubuh dan bedal je kadang-kadang, orang kata lirik mereka unik dan fresh. Aku juga rasa kadang-kadang liriknya tak masuk dan pelik, haha.


Aku duk dengar CD ni hari-hari kot sejak mula beli, sampai 2-3 minggu melekat dalam CD player kereta aku. Aku berani katakan album ni bakal masuk ke ‘Top 5 best local release of 2019’ untuk aku. Lagu paling menusuk kalbu bagi aku adalah ‘Kesatuan’, ‘Jangan Cakap Saja’, ‘Kalau Tewas Nanti Parah’ dan ‘Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang’.

‘Kalau Tewas Nanti Parah’ memang kuat dengan bunyi dan mood Nusantara. Bila dengar lagu ni buatkan aku rasa, memang tak tersasar lagi kalau Iqbal M. bernaung dibawah label Luncai Emas kerana itulah trademark label tersebut –Nusantara! Dan ini adalah Nusantara yang rocking dan best!
Lagu ‘Kesatuan’ pilihan hati yang utama dari ‘PSJKB’, bakal membuatkan anda goyangkan badan, melompat-lompat dan nyanyi sama bila berada di show mereka, mahupun bila anda putar CD ini dalam kereta atau bilik tidur anda. Aku harap mereka bikin video rasmi untuk lagu ini. Lirik korus lagu ini paling melekat dalam benak aku.



Packaging album ini dah lama dibocorkan designnya oleh ahli band sendiri di medsos. Ianya menarik seperti bungkusan pistol mainan yang kita kanak-kanak 80an dan awal 90an beli di kedai-kedai runcit dulu-dulu. Dan pistolnya pula adalah sebenarnya gambar bangunan parlimen dari duit syilling 20 sen, okey brilliant. Tak banyak band tempatan yang memikirkan konsep mendalam dan menarik untuk keluaran fizikal mereka. Ini adalah plus point untuk membuatkan peminat muzik membeli dan menyimpan sekeping atau beberapa keping khazanah muzik negara ini dalam simpanan.

Bila dah beli CD ini, dan suka dengan lagu mereka aku rasa menonton set mereka secara live adalah perkara yang wajib buat anda. Ini kerana showmanship mereka, terutamanya Iqbal adalah sangat luar biasa dan theatrical.  Mereka kini dalam rangka jelajah ke beberapa kota di Semenanjung Malaysia bersama Strikeout dan T.I.M. Jangan lepaskan peluang untuk berjumpa mereka yang friendly ni di ‘album tour’ mereka nanti.

Tuesday, December 18, 2018

ULASAN: Half-Asleep 'Bangun' CD (Nyaring Records)




Band ni dikecam oleh beberapa individu di medsos baru-baru ini setelah mengeluarkan muzik video untuk lagu ‘Dalam Hati Ada Taman’. Mungkin kerana lirik, lagu dan video yang sangat jiwang dan tak ‘punk’ untuk sebuah band poppunk. Mereka patut tahu, Half-Asleep adalah band yang berkiblatkan poppunk macam Yellowcard, Blink 182, Fall Out Boy dan seangkatan dengan mereka. Band punk komersial yang masuk carta top 40. Oh okey, aku mengaku lirik korus lagu ni duk melekat dalam kepala aku.

Aku mempunyai sejarah yang panjang dengan band ni. Antara gig mereka yang aku hadir awal-awal dulu antaranya ‘Punkrock Paradox’ di Central Market Annexe, Sesi Jamming Ringkas di Melaka dan juga ‘Oh Seven Gone To Heaven’ di Ricecooker Shop/Bau Bau Café sekitar tahun 2007. Lagu mereka ‘Get There In Time’, 'Scar' dan '2nd Song' dari demo pertama mereka juga diselitkan dalam drama bersiri di 8TV, ‘Kami’ pada era tersebut selain di iklan golf di Astro. 

Mereka juga pernah mengeluarkan sebuah split CD bersama band 31st Street dari Singapura dan bermain beberapa show di Jepun. Banyak juga rintangan mereka dalam berband ni, aku tahulah sebab sebenarnya vokalis mereka juga merupakan gitaris untuk Dum Dum Tak. Pernah si Nakid merajuk keluar band, dan setiap kali Dum Dum Tak perform, ahli-ahli band Half-Asleep akan datang untuk pujuk Nakid sertai mereka semula.

Akhirnya mereka mengeluarkan album perdana dengan album ini pada bulan Disember 2018 dan juga baru pulang dari Taiwan, bermain tiga show di sana. CD ini dibuka dengan sebuah intro ringkas dengan muzik 8-bit. Lagu kedua berentak melodic punk dengan part scream pada bahagian akhir, discream oleh Ayeen The Patriots. Mereka juga menyanyi tentang isu semasa iaitu tentang mangsa tragedi pesawat MH30, dengan stail Blink 182 dalam lagu ketiga.   

Half-Asleep adalah band yang mempunyai drummer sangat berbakat, biasanya mata penonton di gig akan tertumpu pada drummer mereka Remy. Lagu ke-6 mereka, 'Celaka' sangat catchy dengan stail ska, tapi liriknya agak kasar dan tak kena dengan mood lagu pada aku. Untuk lagu ini juga ada part scream, discream oleh Amex Sepatu Sixtynine. Lagu ni boleh menjadi hit dan siulan ramai walaupun dengan lirik begitu, percayalah. Bahasa yang digunakan turut disuntik loghat Kedah.

Lagu ‘Tonight’ merupakan slow number / balada untuk album ini. Lagu jiwang yang sangat enak dan sedap di pendengaran aku, siap ada alunan cello dan violin. Harap mereka buat video untuk lagu ini, pasti hit.

Seterusnya ‘Zombies’ kuat bunyi Fall Out Boy bagi aku. Korus untuk lagu ‘Kembali ke-90an’ somehow mengingatkan aku kepada Bunkface walaupun verse-nya adalah skapunk. Lagu penutup ‘Glimpse’ juga merupakan satu lagu skapunk dari mereka.

Secara keseluruhan, album ni banyak lagu sedap dengan sound-sound poppunk komersial. Kalau XFresh.fm masih ada, aku rasa banyak lagu-lagu dalam album ni akan diputarkan. Tahniah kepada Half-Asleep masih bersama lebih dari sepuluh tahun, bukan senang melalui liku-liku berkugiran ni. Dapatkan album 12 lagu ini sekarang