AKU MULA TAHU TENTANG BAND PUNK ROCK DARI IPOH NI DARI TULISAN JOE KIDD DALAM BLASTING CONCEPT, KESEMUA AHLI BAND NAMA MEREKA BERMULA DENGAN HURUF A. ANTARA INFO YANG AKU BARU TAHU ADALAH MEREKA BANYAK MAIN LAGU FOLK/RAKYAT YANG DIPUNK ROCK KAN KERANA TERPENGARUH DENGAN THE PILGRIMS YANG COVER LAGU SUA SUE GOOD MORNING/AIR PASANG PAGI. SKINBASHER BARU RILIS ALBUM BARU, NIZANG TANYA AJAX BEBERAPA SOALAN.
1. Boleh cerita sikit macam mana awalnya Skinbasher boleh terbentuk?
Skinbasher form bila aku yang asalnya drummer nak cuba main gitar dan buat band sendiri. Kisah bermula selepas aku kena buang dari UTM Skudai dimana ketika itu aku main dram dengan arwah Jon (Fandi Razali) untuk band CATARRH.
Lepas UTM, aku belajar kat Politeknik Ungku Omar Ipoh, dan di sinilah aku cuba main gitar dan cari drummer/bassist. Maka jumpalah Apai (dram) dan Andong (bass). Mereka kira senior aku la... Maka terus jadi band Skinbasher sejak tahun 1992.
2. Mula-mula dipengaruhi oleh band mana? Adakah pengaruh muzik masih sama sampai sekarang?
Pengaruh band-band seperti Metallica, The Misfits, Ramones, Slayer, Bad Religion, Nirvana, Sepultura, The Swallows, The Hooks, Megadeth. Boleh kata sama je dulu dan sekarang.
3. Cerita sikit tentang demo tape 'Hypertension' 1995. Macam mana dirakam dan berapa copy dibuat? Macam mana dengan sambutan?
Demo 'Hypertension' tu karya pertama kami dan dirakam di Ipoh pada tahun 1995. Ada 6 lagu original. Line-up Ajak (gitar/vokal), Andong (bass) dan Apai (dram). Berapa copy tak ingat bro... sebab main dubbing je kan. Zaman ni sambutan memang menggalakkan.
4. Album terbaru 'Slatan Sorga' apa hubungannya dengan 'South of Heaven' dari Slayer?
Tiada hubugan dengan Slayer 's.o.h', cuma sebab kami minat diorang je. Lagu tak sama pun, apatah lagi nak nyanyi macam Tom Araya... kebetulan ada lagu kami tajuk 'Gila Sorga', so dah rasa Slayer abis la kot...🤣
Dan aku pilih tajuk slatan sorga ni dgn harapan semua peminat slayer akan beli albem ni.
5. Cerita sikit tentang album terbaru ini, sejak bila ditulis? Dirakam di mana dan dengan siapa? Line-up band ada berubah?
Album baru ni dah lama startnya iaitu Jun 2020. Disebabkan kekangan masa dan bajet maka pelan pelan kayuh le. Kami rakam total 21 lagu sebenarnya. Bercampur lagu ori, cover dan recycle songs. Finally kami pilih 12 je.
Line-up album ni; Ajak (gitar/vokal), Andong (bass) dan Adhy (dram). Adhy ni merupakan adik aku dan drummer CATARRH juga. Ada lagu lama dari tahun 1995 yang belum pernah rilis, ada lagu recycle dari album pertama dan tukar lirik ke BM, ada lagu yg aku pernah rakam dengan band lain, juga aku buat lirik baru... dan ada lagu folk omputih yang dibuat lirik BM.
Ada lagu Raya yang kami rilis sebagai single pada tahun 2022 kami masukkan sekali.
Dalam tempoh rakaman album ni kami ada rekod satu lagu untuk album tribute to One Barchiel (As Sahar) tapi belum rilis lagi. Kami rekod secara akustik.
6. Relevan lagi ke rilisan fizikal sekarang, zaman streaming?
Masih relevan sebab masih ada kolektor fizikal walaupun boleh dengo kat intenet tapi tak sama dengan feel dengo fizikal sambil tengok inlay.
7. Skinbasher pernah rakam album under major label (BMG?) Tapi tak rilis... kenapa tu?
Ya betul, kami pernah sign dengan BMG untuk buat album pada tahun 1996 tapi sayang album tak rilis walaupun dah siap rekod dll. Sebabnya menurut Aziz Bakar, album ni tak boleh diketagorikan album Bahasa Melayu atau English. Album ni bertajuk 'ismitwes' dan ada 10 lagu; lima BM Dan lima English. Mungkin juga mereka tak berani keluarkan album yang bukan genre rock kapak dimana zaman ni rock kapak berleluasa. Kami juga tiada satu pon lagu slow yang boleh diviralkan di radio dan TV.
Rakaman di King Studio pada tahun 1996 sama dengan album XPDC 'Brutal'. Guna rekoding teknologi lama iaitu analog.
Zaman ini kebanyakan band underground memang tak suka buat lagu dalam Bahasa Melayu, tak kira band metal ke punk ke grunge ke termasuklah Skinbasher. Mungkin inilah punca album kami tak rilis.
Rasa ralat juga bila pikir balik sebab peluang ada sekali je. Kebanyakan lagu dalam album 'ismitwes' ni kami rakam balik pada tahun 2001. Album bertajuk 'Mama Beta' setelah kami tukar lirik kedalam Bahasa Melayu
Buat pengetahuan ada dua lagu dari album 'ismitwes' ni kami rakam balik dalam album baru ni. Lagu bertajuk '1234' dan 'Lubang'.
8. Skinbasher pernah mereka/merakam lagu untuk OST filem Jutawan Fakir... boleh cerita sikit macam mana dapat peluang danpengalaman masa tu?
OST 'Jutawan Fakir' tu tajuk lagu dia 'Kalau Aku' . Lagu ni merupakan lagu dalam album kompilasi bertajuk 'Family Trip'. Band kami je satu satunya band punk dalam tu, yang lain semua metal. Album ni diterbitkan oleh arwah Bob Kuman. Mungkin idea filem tu datang daripada lirik lagu 'Kalau Aku' tu... yang tak bestnya peminat filem tu tak kenal pun band yang bawak lagu tu. Masa ni betul² masa kami rekod album kedua iaitu 'Mama Beta' tahun 2001. Dan menggunakan nama Skin.
9. Skinbasher juga pernah tukar nama jadi Skin sahaja... kenapa tu?
Nama Skin berpunca bila mana kami sign dengan label arwah Bob Kuman untuk album kedua. Dia yang suggest tukar nama agar nampak mudah disebut dan diingati. Juga sebab line-up kali ni ada perubahan iaitu tugas vokalis digalas oleh Ajid. So line-up jadi empat orang. Aku gitar, Apai dram, Andong bass dan Ajid vokal. Album ni bertajuk 'Mama Beta'. Lirik semua dalam BM dan rilis dalam tahun 2001 dibawah label Empire Works.
10. Macam mana masih ada semangat untuk teruskan band sekian lama atau adakah sebab Ajax sahaja ahli tetap... jadi lebih mudah?
Semangat masih ada sebab aku memang suka buat lagu sendiri. Semangat ini mungkin tercetus daripada semangat arwah Jon Catarrh selaku bandmate pertama waktu pertama kali buat band dulu. Semangat dia ialah buat lagu/album bukan sebab nak jadi kaya pun tapi sebab minat menerbitkan karya sendiri. Sukses atau tak tu nombor dua. Selain arwah Jon, idola aku dalam berkarya ni adalah abang kandung aku yang ajar aku main gitar. Selain main gitar beliau suka buat lagu dan lirik sendiri. Jadi dua orang individu inilah penyuntik semangat aku dalam Skinbasher.
11. Bagaimana hang bahagi masa antara Catarrh dan Skinbasher? Ada lagi projek band lain?
Ada banyak band ni rasanya takde masalah sangat buat masa ni sebab bukannya kami ada banyak show pun. Rasanya tak pernah clash la show Catarrh dengan Skinbansher. Untuk masa hadapan tak tahu la pulak. Selain Catarrh Dan Skinbasher, aku ada main dram untuk band Colorful Bullet. Itu je lah buat masa ni.
12. Apa perancangan seterusnya, nak bikin gig?
Perancangan seterusnya kami nak buat gig launching album 'Slatan Sorga' ni. Juga kalau ada rezeki, kami nak buat tour insha'Allah. Untuk rilisan pula kami nak siapkan balance lagu yang kami rakam dalam album 'Slatan Sorga' ni untuk album yang seterusnya. Pastu kalau ada rezeki kami nak reissue album² lama kami. Itu je lah plan buat masa ni.
13. Kata-kata akhir dan ada apa-apa nak tambah? TQ Ajax.
Kepada peminat muzik teruskanlah sapot band independent tanahair dengan membeli rilisan fizikal; CD, keset atau vinyl dan juga merch serta datang tengok show; gig dan konsert.
Biografi Ringkas Band Skinbasher
1995 - Form Skinbasher. Rekod demo 'Hypertension' (line up ajax g/v, apai dram, andong bass. Ada 6 lagu original dalam English.
1996 - Sign dengan label BMG rekod album 'ismitwes'. Line-up ajax gitar, apai dram, andong bass, ajid vokal. Tapi album x rilis. Ada lima lagu English (dipetik dari demo 'Hypertension') dan tiga lagu Melayu original dan dua folk cover song)
1999 - Sign dengan label Nebiula Productions. Rekod album 'Transglobal Confusion'. Line up ajax g/v, amay dram, apai bass. Ada lapan lagu English original dan dua folk songs.
2001 - Sign dengan label Empire Works. Rekod album 'Mama Beta'. Line-up ajax gitar, apai dram, andong bass, ajid vokal. Kebanyakan lagu dpd album 'ismitwes' yang diubah lirik dalam Bahasa Melayu. Ada lagu cover juga.
2008 - Mula rekod album secara DIY. Tajuk: 'Infiniti'. Line-up ajax g/v adhy dram andong bass. 10 lagu original dalam Bahasa Melayu.
2013 - Rekod album 'Punkapak'. Line-up ajax g/v adhy dram apai bass. 9 lagu original berbahasa Melayu satu English. Ada satu lagu feat Aca Shaqeera of Vermellion.
2026 - Rekod album 'Slatan Sorga'. Line-up ajax g/v adhy dram, andong bass. Ada 12 lagu baru dan recycle, 1 cover folk barat yg diubah lirik BM. 11 lagu dalam Bahasa Melayu dan satu English.