Wednesday, April 26, 2017

5 SOALAN bersama P-RM

P-RM MENAMAKAN MUZIK MEREKA SEBAGAI "ALTERNATIVE FOLK-PUNK". BANYAK MEMBUAT PERSEMBAHAN DARI GIG, ACARA SENI KE ACARA SANTAI-SANTAI DI SEKITAR LEMBAH KLANG. IKUTI SESI 5 SOALAN BERSAMA MEREKA. OH YA, DAPATKAN CD MEREKA!




Pertama-tamanya, aku rasa semua orang nak tahu. Apa maksud nama band ini, P-RM?

Pada awal P-RM dimulakan, kami bersependapat untuk meletakkan ‘-‘ sahaja sebagai nama kugiran.

Ianya membawa perlambangan bahawa kugiran ini membawa sebuah simbolik permasalahan zaman yang sedang dilalui kami. Mudahnya, apabila masyarakat melihat simbol ‘-‘, mereka akan pantas mengingati sebuah simbol kepada zaman ini, iaitu P-RM, yang menceritakan permasalahan zaman ini dari pelbagai sudut seperti sosial masyarakat, dan politik. Seperti simbol ‘A’, atau ‘E’, simbol ‘-‘ membawa maksud perlawanan dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan perhiasan-perhiasan yang kosong tanpa maksud.

Namun begitu, ketika kali pertama membuat persembahan di PUITEKA 0.2, 17 September 2015, Fazleena Hishamuddin telah meminta kami memberikan nama alternatif kepada kugiran kami demi memudahkan proses reka-letak poster acara.

Kami memilih P-RM sebagai nama alternatif pada acara itu, dan ianya berkekalan sehingga hari ini. P-RM membawa maksud yang berbeza untuk setiap individu. Dan perkataan ‘PRM’ di dalam nama kugiran kami bukanlah sekadar perhiasan-perhiasan yang kosong tanpa maksud. Kerana itulah ia harus diisi sendiri oleh masyarakat, dengan pemahaman yang ditentukan oleh mereka, oleh tahap kewarasan dan kerasionalan akal individu.

Bagaimana band ini terbentuk dan kenapa main muzik bersama?

Tahun pertama kami ke studio untuk sesi main-suka- suka adalah pada tahun 2015. Pada waktu itu, posisi pemain drum masih lagi diisi oleh Aiman Cheras. Kami mula bermain sebagai sebuah kugiran dengan serius adalah pada tahun yang sama, 2015. Pada penghujung tahun 2016, posisi Aiman Cheras diganti oleh Kudin.

Petak Daud juga seorang “artis solo”, apa beza direction muzik karier solo dan berkumpulan? Atau adakah lepas ada band, dah kurang aktif persembahan solo?

Sebenarnya bukan Petak sahaja yang mempunyai projek kugiran selain projek solo, tetapi Kudin juga mempunyai projek kugiran yang lain iaitu Orkes Rakyat Tertindas.

Arah tuju bermain muzik secara solo (Petak Daud) dan berkumpulan adalah sama sahaja iaitu mengajak orang ramai mencari kebenaran dan menolak korupsi. Kebenaran boleh datang dari pelbagai sumber dan celah. Begitu juga korupsi. Kita memerlukan kolektif, masyarakat dan anggota yang lebih ramai untuk bersatu menolak penindasan. Malah, sekiranya mencari kebenaran dan menolak korupsi lebih seronok dilakukan beramai-ramai, adalah lebih baik kita meneruskannya beramai-ramai.

Namakan pemuzik-pemuzik yang mempengaruhi muzik kalian dan juga sumber inspirasi dalam menulis lagu…

Inspirasi kami dalam menulis lagu adalah keadaan alam sekitar, dan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, lagu LK-PPK dicipta berdasarkan isu penindasan terhadap wanita. Menjadi Manusia pula ditujukan kepada pemerintah yang hanya tahu bercakaran sesama mereka, lalu menenggelamkan isu-isu dan masalah masyarakat yang lebih penting. Lagu Sedar Sekadar Sedar pula adalah sebuah sindiran terhadap sikap kita semua yang sudahpun sedar tentang penindasan yang berlaku, tetapi tidak mahu berbuat apa-apa melainkan bercakap-cakap sahaja.

Kata-kata akhir…

Ramlee: Semoga kalian terus berkongsi, dan memberikan sokongan kepada kami agar kita boleh belajar antara satu sama lain melalui seni. Muax!

Ali: Seperti mana pentingnya scene kepada space, begitu juga pentingnya space kepada scene. Jadi, sokonglah dan raikanlah ruang tempatan anda. Oh, dan jangan hisap dadah.

Kuding: Sokonglah pergerakan kami supaya dapat kami meneruskan perjuangan menyampaikan mesej-mesej yang positif kepada masyarakat. Aku teringin sangat nak perform dalam sekolah-sekolah dan balai raya. Supaya mesej tak berpusing dalam kalangan kita-kita saja.

Ayon: Kami akan teruskan perjuangan kami sebagai P-RM untuk pelbagaikan lagi industri muzik nusantara. Jangan lupa solat lima waktu.

Petak: Hiduplah dengan hormat dan bertoleransi. Fahamlah dahulu sebelum melulu.

2 comments:

Adi Herman said...

salute band ni, lagu sedap2 semuanya. haha maksud P-RM tu pun menarik.

Adi Herman said...

band ni best. ada bunyi akordian dalam muzik mereka.