Masa aku baru habis SPM di Kuala Terengganu dulu, aku bertandang ke rumah sewa kakak aku di Cheras. Hari-hari akhir aku di sana walaupun duit dah nak habis, aku pinjam duit kakak aku RM20 buat tambang LRT, bas dan tiket masuk ke gig di Ampang. Itulah kali pertama aku pergi gig di Kuala Lumpur dan itulah kali pertama aku tengok set Spunky Funggy. Yang aku ingat mereka ada mainkan lagu ‘Should I Stay Or Should I Go’. Dan yang aku ingat masa tu rambut Francis Wolf mengerbang kerinting dan berbaju kemeja denim.
Lepas SPM juga aku tubuhkan band bersama rakan-rakan, Jellybelly dan tak sangka Francis Wolf ada jemput band kami untuk beraksi di Punk Picnic yang diadakan di Port Dickson. Aku lupa sebab apa kami tolak pelawaan tersebut, tapi rasanya kerana masing-masing sibuk masa tu sebab ahli-ahli baru sambung belajar di IPT dan berjauhan.
Tidak lama kemudian, kami sama-sama terlibat dengan satu kompilasi yang dinamakan ‘Little Jerks’. Antara kugiran lain yang menyumbangkan lagu adalah Pusher, Toxin 99% dan Khordless Kill. Spunky Funggy menyumbangkan lagu mereka yang bertajuk ‘Gegar’. Walaupun lagu ini tidak menjadi hit seperti lagu ‘Viva La Punk’ oleh The Bollocks, bagi aku liriknya sangat tepat untuk menjadi staple anthem untuk para punk rockers. Dengarkan saja baitnya yang menggambarkan tentang attitude punk rock.
“Don’t really care what the people got to say, don’t really wanna stop, teras bergaya, tak pedulikan sesiapa, mereka maki, mereka ketawa, bangga dalam diri, tabah dalam hati, guna otak sendiri!”
Walaupun tanpa band, Francis Wolf tetap aktif bermuzik. Ke hulu ke hilir diusung gitarnya. Di tepi-tepi jalan, di tepian pantai dan di stesen LRT kau boleh jumpa mamat ni dengan nyanyian, petikan gitar dan senyumannya. Kalau lepak, dia suka ambil gambar bersama-sama menggunakan telefon bimbitnya untuk kenang-kenangan. Walaupun mungkin baru beberapa keping gambar aku dalam koleksinya tersebut, aku rasa aku adalah salah seorang yang bertuah juga. Antara lagu lain dari Spunky Funggy yang aku suka adalah 'Social Carbon Copy' yang dimuatkan dalam album mereka, 'Smile For The Revolution'. Lagu tu juga aku pinta darinya untuk dimainkan semasa dia beraksi di acara 'Kuala Lumpur Zine Fest and Distro Day Out 2013'.
Sebenarnya setengah dari tulisan dalam buku ni dah diterbitkan dalam bentuk zine fotostet secara terhad bertahun-tahun yang lalu. Kini, ia diterbitkan kembali untuk pasaran yang lebih luas dalam bentuk buku. Ia tampak lebih kemas dan diterbitkan sendiri oleh Francis Wolf, dalam dwibahasa – inggeris dan melayu. Kedua-dua bahasa diterjemah sendiri olehnya kerana tidak mahu buku ini sekadar dibaca oleh pemuda-pemudi di kawasan urban. Ini satu usaha yang aku tabik dan puji. Buku ini patut dikeluarkan kerana di Malaysia masih belum banyak buku bergenre begini diterbitkan sedangkan ramai yang mencarinya untuk dibuat rujukan atau sekadar koleksi peribadi.
2 comments:
Macam mana nak dapatkan buku ni tuan?
boleh didapati dari https://www.facebook.com/socialcarboncopy
aku juga ada menjualnya. tapi buat masa sekarang versi Bahasa Inggeris saja. Versi B.M akan datang.
Post a Comment