Sunday, January 6, 2013

Tok Su


Dulu masa kecil aku manja dengan Tok Su. Tok Su suka layan dan manjakan aku. Selalu aku tidur dalam ribaannya. Kalau aku kena gigit nyamuk, dia akan garukan aku. Aku ingat itu sampai saat ini sebab cara dia garu agak unik. Sangat lembut. Tidak menggunakan kuku. Kalau air teh o aku panas bila dihidang orang, dia tiupkan.

Tok Su bukanlah nenek kandung kami. Dia “tukang masak” arwah Pa semasa belajar dan tinggal bujang di UM, kalau tak silap. Dia baik dengan Pa. Jadi bila Pa bertugas di luar Negara dan bawa keluarga kami ke sana, turut dibawa ke sana adalah Chik (ibu Pa), Achik (adik Pa) dan juga Tok Su (untuk membantu di rumah di sana). Nak dijadikan kisah, aku manjalah dengan Tok Su.

Dulu-dulu Tok Su berniaga pisang goreng dengan anaknya Kak Mah di hadapan rumah mereka di Kampung Cabang Tiga. Aku ingat sekali tu aku dan kakak aku ikut arwah Pa pulang ke kampung. Tak tahu apa kes kami bercadang untuk tidur di rumah Tok Su mungkin selama dua hari satu malam. Pa tidur di rumah Chik di Kampung Petani dan ahli keluarga lain tidak balik kampung masa tu. Hidup suasana kampung serba sederhana. Aku masih ingat di rumahnya ada sawang pada siling. Aku menanyakan padanya “bakpe rumoh Tok Su banyok spider web?” Tok Su ketawa besar sampai keluar air mata bila dengar pertanyaan aku itu.

Tiap tahun pada Raya Puasa, rumah Tok Su menjadi rumah yang wajib kami bertandang. Masakan di rumahnya pasti sedap. Mungkin kerana Kak Mah juga kerja berniaga makanan di kantin dan kedai makan. Tahun lepas, pertama kali isteri dan anak aku beraya di rumah Tok Su. Tok Su sangat gembira dapat jumpa anak aku, ya lah dulu aku kecil-kecil dia jaga aku. Sekarang aku dah jadi ayah orang! Tok Su orangnya selalu ke ‘surabala’ dan juga mengajar orang mengaji kecuali kalau dia kurang sihat atau sakit ‘reboh’.

Rasanya lepas ni kami mungkin jarang ke rumahnya lagi walaupun Hari Raya kerana Tok Su telah berpindah ke ‘takah tiga’ yakni masuk alam kubur minggu lepas. Al-fatihah. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

SYB: Foto arwah yang paling aku ingat dalam simpanan keluargaku adalah arwah sedang menggoreng sesuatu di kuali.

1 comment:

Adi Herman said...

Al Fatihah..semoga rohnya dicucuri rahmat Allah