Tuesday, November 12, 2019

ULASAN: Kah Kah Celaka ‘Jangan Berhenti’ CD



Aku memang mengikuti band ni sejak dari demo CD mereka ‘Demonstrasick’ yang dikeluarkan pada tahun 2017 dulu. Aku turut interview mereka dalam zine Mosh isu 18. Kini band punk rock dari Pontian ini datang dengan album penuh yang dirakam di Studio 46, Pasir Gudang. Album ini memuatkan 13 buah lagu termasuklah kesemua lagu-lagu dari demo CD mereka dulu yang dirakam kembali dan kedengaran lebih kemas dan mantap. Lagu favorite aku dalam demo mereka ‘Sang Pemimpin’ juga turut dirakam semula. Kalau nak tahu stail muzik mereka ada ala-ala Bunga Hitam, Sosial Sosial dan beberapa lagi band Indonesia yang lain. Beberapa lagu kedengaran lebih kearah hardcore seperti ‘Dead On Trap’, ‘Bahaya’ dan ‘Jangan Berhenti’.


Lirik berkisar macam-macam kisah termasuklah keinginan untuk bermain dalam band punk rock sejak pertama kali dengar Greenday dan Rancid, tentan dikejar oleh polis di demonstrasi, lagu gembira balik kampong berjumpa keluarga dan kawan sekampung dan lain-lain lagi. Walaupun banyak bernyanyi dalam bahasa melayu, mereka turut menyelitkan 3 lagu berbahasa Inggeris jadi bolehlah kawan-kawan di luar negara sing along bila mendengar lagu mereka nanti.



Apa yang menarik, Kah Kah Celaka ada rakamkan lagu nyanyian asal oleh Panklima berjudul ‘Dato Seri’ yang berlirik sinikal. Band Panklima yang aku tahu berasal dari Johor dan dianggotai oleh Wak Kang yang banyak buat persembahan dulu, tapi aku rasa tiada mengeluarkan sebarang proper release, correct me if I am wrong. Bes lagu ini, memang patut diabadikan dalam album, dan oleh band dari Johor juga. Memang sedap lagu ini.



Album ini ditutup dengan lagu ‘Demonstrasick’ versi akustik. Ya, lagu ini juga antara lagu yang paling nice dalam album ini. Membuatkan pendengar sing along bersama penyanyi utama band ini iaitu Chucky.



Aku suka dengan fotografi yang digunakan untuk kulit CD ini, gambar band dengan kereta dan alatan-alatan mereka disusun dengan konsep ‘tetris challenge’. Semangat betul! Packaging mereka juga jenis lipat macam album 'Tunjal' oleh Plague of Happiness, kemas juga.



Oh ya, mereka turut mengeluarkan video muzik untuk lagu ‘Jangan Berhenti’ yang turut memuatkan kawan-kawan serata Malaysia merakam nyanyian masing-masing untuk melengkapkan video ini. Mereka turut mengeluarkan video lirik untuk lagu ‘Intro’ pada hari ini.



CD ini hanya dicetak sebanyak 300 keping, cepat pesan dari mereka atau distro-distro yang menjualnya. Ada sticker free di dalam CD. Mereka turut menjual t-shirt dan totebag, so bolehlah beli sekali pakej.








-->

Monday, September 16, 2019

5 soalan: KEBAS RABAK

BES BETUL BAND KUANTAN NI, KEBAS RABAK... CHECK OUT LAGU-LAGU MELANKOLIK DAN JUGA LAGU HAPPY MEREKA, 'Oh No! Aku Jatuh Cinta Lagi'.



1. Salam Kebas Rabak, bagi aku nama band kalian ni unik dan bes betul. Ada cerita atau rahsia disebalik nama band ni?

Waalaikumusalam. Pertama, terima kasih diatas interview ini dan amat dihargai. Pasal nama band Kebas Rabak? Hahaha... setelah lama memikirkan nama band yang sesuai dengan aliran lagu-lagu yang dimainkan, kerna terlalu lama memikirkan akhirnya wujudlah "kebas rabak" kerna kebas tangan dan hancur rabak jari membuat lagu. Tiada cerita atau rahsia disebalik nama Kebas Rabak.

2. Dalam inlay CD ‘Kontineu-nsi’ ada mengatakan anda telah menanti 10 tahun untuk terbitkan, boleh ceritakan apa yang dimaksudkan dengan pernyataan ini? Kenapa lagu dirakam secara sikit-sikit?

Kesemua lagu dibuat pada tahun 2005 dimulai dengan tidak esok lusa direkod secara DIY dan terus mengolah lagu-lagu lain sehingga siap pada 2010 dan rekod dua lagu lagi 'Oh no!' dan 'Semua Biar Mati'. Dan seterusnya empat lagu lagi didalam album diolah sehingga 2014 kami siap rekod. Kerana tidak ingin cepat selesa dengan lagu-lagu yang direkod, kami bertahan lagi dengan mendengar dan terus mendengar apa yang kekurangan. Didalam masa yang sama mengunpul material-material baru. Sehinggalah 2018 kami rasa sudah cukup masa untuk ekperimentasi kerana takut kami makin terlambat pula kerana lagu-lagu baru sudah ada dan ambik keputusan untuk diriliskan sebagai discography album kerana kami telah menemukan identiti musik yang diinginkan. Dan kami perlu memberitahu menanti 10 tahun untuk rilis lagu-lagu tersebut dan untuk memberitahu yang lagu-lagu sudah lama siap untuk diriliskan pada pendengar dan band ini sudah wujud pada tahun 2005 lagi. Itulah sedikit sebanyak dapat dijelaskan sebab panjang ceritanya sebenar. Pening kalau nak dijelaskan.


3. Selain Radiohead dan Efek Rumah Kaca, aku dapat rasakan mood lagu seperti Andra and the Backbone, Payung Teduh dan juga Jamiroquai dalam beberapa lagu kalian. Adakah artis-artis ini ada memberi inspirasi atau pengaruh pada muzik kalian?
 

Setiap yang mendengar ada berbagai rasa yang berbeza pada sesuatu lagu. Kami dengar Payung Teduh, Andra, Jamiroquai tapi tidak menjadi sumber inspirasi dan memang Radiohead dan Efek Rumah Kaca influence kami yang menjadi sumber inspirasi. Ada beberapa lagi pengaruh muzik yang benar dijadikan sumber inspirasi seperti Tom Waits, Blind Melon, juga The Mars Volta tapi kami tidak sesekali ingin menjadi seperti mereka. Kami mencari element-element yang kami inginkan.


 


4. Aku sukakan design dan dan illustrasi dalam inlay CD kalian. Yang aku tahu, Yoyo pun pandai melukis. Adakah lukisan Yoyo diselitkan dalam inlay tersebut?
 

Terima kasih kerana menyukai design dan ilustrasi dalam inlay CD kami. Cover depan sudah lama diperam hasil lukisan Rafiz (Satwo) yang memang untuk dijadikan cover album. Bab Yoyo, memang Yoyo bisa melukis tapi didalam 'Kontineunsi', ilustrasi yang lain datangnya dari Akram, Asrul Noise Cave dan Kim yang juga melukiskan design cover belakang. Yoyo akan berada pada material baru nanti, dia sudah menunjukkan beberapa 
lukisan untuk material akan datang.



5. Dalam Review Uncle, suara vocal Akram sangat dipuji. Adakah Akram mendapat latihan formal untuk ini? Ada tips untuk mereka di luar yang minat untuk menyanyi?
 

Akram tidak belajar dimana-mana kelas vokal, hanya menyanyi saja tanpa bantuan ataupun guide. Menyanyilah melalui nada dan jangan tiru suara penyanyi lain.

Sunday, June 9, 2019

Ulasan: LORSA ‘Psycho Au Go-go’ demo CD (Diebetix Records)



LORSA atau singkatan terbarunya “Love Rocket Subvert Army” adalah sebuah band surf punk yang berpengkalan di Lembah Klang. Ini merupakan rilisan kedua mereka yang aku dapat, aku ada sebuah rilis berkulit warna kuning dari mereka sebelum ini...

Beberapa line-up mereka telah berubah namun halatuju muzik masih lebih kurang sama, namun kali ini lebih punk dengan banyak tempikan disamping petikan gitar surf laju mereka. Sebanyak enam lagu dimuatkan dengan tema-tema biasa band surf seperti hal-hal angkasalepas dan penyiasat peribadi. Rasa macam tengah tengok filem Mat Sentol pun ada.

Untuk menutup demo kali ini, mereka merakam lagu ‘Rise Above’ dari Black Flag dengan versi surf punk. Rilisan ini disertakan juga dengan sticker dan button percuma. Lirik dan band Bio turut diselitkan, bagi aku usaha band ini untuk menyelitkan item-item ini kedalam demo ini adalah sangat menyeronokkan macam beli kanak-kanak beli jajan dapat percuma mainan dan sticker.

Korang konteklah lorsamusic@gmail.com atau cari mereka di FB dan IG. Dapatkan demo ni sebelum kehabisan stok.



Tuesday, March 5, 2019

Ulasan: Iqbal M. 'PSJKB' CD (Luncai Emas)

Baru-baru ni, ada seorang ahli muzik mengatakan pengeluaran CD untuk band-band yang agak baru sudah tidak relevan, namun Iqbal M. dengan album baru mereka khabarnya berjaya menjual seribu unit CD dalam masa beberapa minggu sahaja. Tepuk dada tanya selera, aku rasa kalau band anda serius, adalah wajar mengeluarkan muzik anda dalam bentuk fizikal juga.

Mosh zine dijemput untuk ke sidang media album Iqbal M ‘PSJKB’ di The Bee hari ini namun kami tak dapat ke sana kerana urusan kerja. Alang-alang dah lama aku tunda untuk mengulas album ni, aku ulas sempena tarikh rasmi kelahiran album ni hari ini menurut kata Iqbal.



Aku mula menonton Iqbal M. ketika di Parti DuBook di Red Bugalow pada tahun 2013. Ketika set mereka Iqbal tiba-tiba datang ke arah aku dan mengetuk dada aku tiga kali macam ketuk pintu. Aku dengar sedap juga lagu-lagu mereka, ramai peminat sing along juga. Aku terus ke reruai untuk membeli CDEP mereka ‘Antara Dua Darjat’, aku jatuh cinta dan menonton video-video mereka di YouTube. Rupanya Iqbal memang follower aku di IG. Lepas tu aku ada tolong jualkan ‘A2D’ mereka, interview mereka untuk zine Mosh isu 17 dan Iqbal juga pernah order keropok lekor masa aku balik kampung.



Aku baru perasan, mereka suka gunakan akronim untuk tajuk album dan lagu-lagu mereka. Contohnya untuk lagu ‘Jangan Cakap Saja’, masa persembahan pentas mereka akan sebut ‘JCS’ sahaja. Jadi album ini menggunakan akronim ‘PSJKB’ yang membawa maksud ‘Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang’. Lapan lagu dipertaruhkan dalam album terbitan Luncai Emas ini dan diedarkan oleh Gudang Suara. Aku beli album ini masa mula-mula ia dikeluarkan di Atas Big Jan show, Bentley Damansara pada 26 Januari 2019, beratur panjang woi.

Dari pendengaran aku, album ni ada banyak pengaruh bunyian dari Butterfingers (album Malayneum dan ke atas), Monoloque dengan lirik-lirik nasihat ala Sheqal atau S.M. Salim. Semalam aku tengok Review Uncle di Tapau TV pun cakap macam ni, tapi aku tak meniru Haq dan Adly Syairi, memang aku rasa macam ni sebelum tengok ulasan diorang lagi. Namun lirik dari Iqbal ni macam main bubuh dan bedal je kadang-kadang, orang kata lirik mereka unik dan fresh. Aku juga rasa kadang-kadang liriknya tak masuk dan pelik, haha.


Aku duk dengar CD ni hari-hari kot sejak mula beli, sampai 2-3 minggu melekat dalam CD player kereta aku. Aku berani katakan album ni bakal masuk ke ‘Top 5 best local release of 2019’ untuk aku. Lagu paling menusuk kalbu bagi aku adalah ‘Kesatuan’, ‘Jangan Cakap Saja’, ‘Kalau Tewas Nanti Parah’ dan ‘Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang’.

‘Kalau Tewas Nanti Parah’ memang kuat dengan bunyi dan mood Nusantara. Bila dengar lagu ni buatkan aku rasa, memang tak tersasar lagi kalau Iqbal M. bernaung dibawah label Luncai Emas kerana itulah trademark label tersebut –Nusantara! Dan ini adalah Nusantara yang rocking dan best!
Lagu ‘Kesatuan’ pilihan hati yang utama dari ‘PSJKB’, bakal membuatkan anda goyangkan badan, melompat-lompat dan nyanyi sama bila berada di show mereka, mahupun bila anda putar CD ini dalam kereta atau bilik tidur anda. Aku harap mereka bikin video rasmi untuk lagu ini. Lirik korus lagu ini paling melekat dalam benak aku.



Packaging album ini dah lama dibocorkan designnya oleh ahli band sendiri di medsos. Ianya menarik seperti bungkusan pistol mainan yang kita kanak-kanak 80an dan awal 90an beli di kedai-kedai runcit dulu-dulu. Dan pistolnya pula adalah sebenarnya gambar bangunan parlimen dari duit syilling 20 sen, okey brilliant. Tak banyak band tempatan yang memikirkan konsep mendalam dan menarik untuk keluaran fizikal mereka. Ini adalah plus point untuk membuatkan peminat muzik membeli dan menyimpan sekeping atau beberapa keping khazanah muzik negara ini dalam simpanan.

Bila dah beli CD ini, dan suka dengan lagu mereka aku rasa menonton set mereka secara live adalah perkara yang wajib buat anda. Ini kerana showmanship mereka, terutamanya Iqbal adalah sangat luar biasa dan theatrical.  Mereka kini dalam rangka jelajah ke beberapa kota di Semenanjung Malaysia bersama Strikeout dan T.I.M. Jangan lepaskan peluang untuk berjumpa mereka yang friendly ni di ‘album tour’ mereka nanti.