Wednesday, February 17, 2016

5 Soalan: The Pilgrims




Baru-baru ni, beberapa band lama telah mengeluarkan material terbaru mereka termasuklah Sil Khannaz, Koffin Kanser dan The Pilgrims. Masa aku sekolah menengah dulu, aku selalu sangat dengar kaset The Pilgrims (Perfume Garden, Away From The Numbers, Da’ Capo dan album live) sampai kawan aku Syed (Aftermath) mengatakan bahawa The Pilgrims adalah band kegemaran aku. Aku tak pernah pula menafikan kenyataan tersebut. The Pilgrims adalah band punk dengan bunyi gitar berat dan metal sampai ada zine yang mengatakan muzik mereka adalah punk metal ketika era 'Da’ Capo' (1996). Baru-baru ni aku berkesempatan ke kedai yang dibuka ahli asal mereka, Kombat dan membeli CD terbaru mereka, ‘Achtung! Riders’. CD ini dikeluarkan terhad sebanyak 1000 unit sahaja, jangan ketinggalan. Lanjutan dari lawatan tersebut dan mendengar album baru mereka, aku ambil keputusan untuk menemuramah beliau yang dikenali sebagai penggemar gitar ‘tajam-tajam’.

The Pilgrims adalah band punk pertama mengeluarkan demo dan album di Malaysia. Adakah berat untuk menggalas gelaran ini...

Pada mulanya agak tercabar dan gementar juga dengan selok keranya. Tapi bila dah mula segalanya, maka lepas itu kami terus menggalas gelaran itu dengan jayanya. Lagipun setelah muncul band-band lain yang sama maha hebatnya, gelaran tersebut dah jadi alah bisa tegar biasa.

Dalam the wknd session, Kombat dan Bob ada berkata bahawa The Pilgrims lebih senang main lagu-lagu lama yang menjadi ‘anthem’ di atas pentas dan tiada lagu baru. Tup-tup keluar dengan album baru. Komen sikit.

Pada masa wknd session tersebut, kami memang dah macam putus harapan dengan scene dan industri muzik kita yang macam harem J ni. Namun pada awal tahun lepas timbul idea untuk mengeluarkan album setelah line-up kami sangat complete dan jitu. Kami juga menerima banyak undangan persembahan di kenduri-kenduri kahwin di seluruh pelusuk negara, hehe.


Kombat baru sahaja membuka sebuah kedai untuk menjual merchandise The Pilgrims. Boleh bertahan ke? Ada side business mungkin di situ? Ini kali pertama aku dengar kedai fizikal dibuka untuk mejual merch satu band sahaja di Malaysia. Macam mana boleh timbul idea tu?

Konsep Kedaii Kombatt lebih kepada ‘singgah suai kenal dan minum kopi’. Kami hanya menjual merchandise The Pilgrims sahaja kerana sebelum ini merch kami hanya dijual secara online. Kepada mereka yang ingin COD, boleh singgah di Kedaii Kombatt, senang kira. Mungkin rezeki bertapak di Campbell Complex yang legendary. Itu sudah tersurat sebab memang (saya) sangat-sangat ingin membuka kedai di situ.

Band-band apa yang menjadi rujukan semasa pembikinan album Achtung Riders?

Sewaktu pembikinan album ‘Achtung! Riders’, rujukan kami hanya berdasarkan feel band-band era 90's Thrash kerana mungkin ada yang sedia maklum bahawa The Pilgrims lebih dikenali dengan genre Punk Rawk. Akan tetapi diawal penubuhan band kami sewaktu bernama Hijrah lagi, kami lebih banyak memainkan muzik Thrash. Ini kerana Thrash ada dalam diri saya cuma waktu itu (dua album pertama), producer kami adalah our legendary godfather of punk. Maka sedikit sebanyak influence dari beliau menjerumuskan The Pilgrims ke arah Punk Rawk. Akan tetapi jika kamu mengikuti dari album pertama lagi semua adunan gitar lebih kepada riff-riff berat. Saya sendiri tak pernah minat dengan gitar berbentuk bulat. Terus terang, jiwa saya lebih kepada Thrash Metal dan punk hanyalah attitude kami. Even sewaktu kami cover lagu ‘Anarchy In The UK’, ia merupakan versi Megadeth. Bukan versi Sex Pistols. Sekarang dengan line-up yang jitu, kami ingin meneruskan dengan Thrash Metal era 90’an semula. Terpulang kepada pendengar boleh terima atau tidak cara kami yang baru ini. Kami bukan mengubah genre ya. Harap maklum.

Album ‘Achtung Riders’ memang kedengaran ‘metal’. Bagaimana reaksi pendengar anda setakat ini terutamanya yang sukakan dua-tiga album anda yang terdahulu?

Mereka seharusnya agak terkejut. Namun belum ada lagi respon negatif setakat ini. Bermula dari album Da’ Capo (1996), kami sudah ada unsur-unsur Thrash. Album ‘The Wise Fisherman’ lebih kepada experimental yang tak menjadi. Kami juga nak perabih duit company ke Sidney, Australia. Yalah, depa dah untung banyak dengan Da’ Capo. Kita bagi punahlah album seterusnya, hahahahah. Album ‘Achtung! This Is Not A Metal Band’ adalah sarcastic view from us which is we already played Metal at that time.


 The Pilgrims era Da' Capo

SYB: Kalau tiada aral, temubual ni akan disambung dan dimasukkan dalam zine Mosh #18