Thursday, September 20, 2012

Interview dengan Nizang oleh Bagi Bagi Zine (Pontianak, Indonesia)



Halo apa kabar Nizang? Bagaimana kondisi kamu saat ini?

Hi, sejahtera ke atas kamu pembaca sekalian. Aku sihat buat masa ini.

Malaysia baru saja melewati sebuah kejadian yang besar. Ada sebuah rally yang bernama BERSIH 3.0 yang diikuti mungkin ribuan warga Malaysia. Walaupun aku dan mungkin banyak kawan – kawan lain bisa membaca sendiri melalui page Facebook ataupun website lain mengenai BERSIH 3.0. Tapi menurut pendapat kamu dan menurut yang kamu ketahui, BERSIH 3.0 itu apa? Apa sebenarnya yang melatarbelakangi munculnya gerakan BERSIH 3.0?

Bersih 3.0 adalah satu perhimpunan aman yang diadakan di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri lain dan juga beberapa tempat di luar Negara. Ia bertujuan untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil, bebas pengundi hantu, akses media yang adil (bukan dikawal oleh satu parti sahaja –parti pemerintah sekarang), di Malaysia kini ramai pekerja asing yang diberikan kad pengenalan sementara supaya boleh mengundi parti ini, itu adalah satu penyelewengan undi. Dan ibu saudara aku sendiri juga menjadi pengundi hantu untuk parti tersebut, ini sangat menyedihkan. Dan situasi ini perlu dihentikan. Putarbelit berita di media massa arus perdana harus dihentikan. Ada 8 tuntutan kesemuanya untuk perhimpunan Bersih 3.0 ini yang boleh dicari sendiri di internet. Rakyat sudah sedar dan tidak tahan lagi dengan pilihanraya yang dimanipulasi, berita yang dimanipulasi, pembaziran dan penyelewengan wang dan harta rakyat oleh parti pemerintah. Kurangkan korupsi, kronism dan suburkan keadilan media massa dan nilai-nilai murni.

As long as I know, kamu juga turut bergabung dalam rally BERSIH 3.0, apa alasan pribadi kamu untuk turut bergabung dengan gerakan tersebut. Kamu setuju bahwa pemerintahan bisa dibentuk dan dipilih oleh rakyat? Kamu percaya rakyat memilih orang – orang yang nantinya akan memerintah mereka sendiri?

Dulu masa aku bujang, aku juga terkesan dengan propaganda band punk FSF dari Sg. Petani iaitu kau hanya dijadikan alat oleh parti politik untuk menang. You're just a tool forever. Lepas menang mereka lupakan rakyat dan pengundi. Tapi sekarang sesudah berkeluarga, fikiran aku sudah berubah. Aku mahukan Malaysia yang lebih baik, masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang, untuk anak-cucu aku. Jadi aku memilih untuk mengundi sebab tu aku boleh cakap tentang dan sertai perhimpunan Bersih 3.0. Sebab aku nak mengundi. Macam mana banyak pengundi hantu pun, banyak SPR dan kerajaan pemerintah main tipu pun, aku hanya berserah pada tuhan.

Melihat begitu besarnya jumlah rakyat yang turut bergabung dalam rally BERSIH 3.0. Aku jadi penasaran, bagaimana kondisi disana? Bagaimana BERSIH 3.0 mempublikasikan gerakan ini dan juga menjelaskan maksud dari gerakan ini kepada rakyat? Apakah mereka juga mereka melakukan publikasi melalui media Televisi ataupun Koran? Dan apakah tidak ada reaksi dari Pemerintah yang sedang berkuasa?

Media yang digunakan adalah internet, akhbar-akhbar alternatif dan akhbar-akhbar parti-parti pakatan rakyat dan juga dari mulut ke mulut. Contoh akhbar ini adalah seperti Harakah, Roket, Suara Keadilan dan lain-lain tetapi agak susah untuk didapati kerana tuan kedai pun takut nak jual, haha! Memang kelakar politik di Malaysia ni. Oh ya, di sini kami panggil akhbar atau surat khabar dan di Indonesia dipanggil Koran.

Tetapi aku rasa, media utama adalah internet. Rakyat jadi lebih celik dan tahu situasi sebenar, dan berita-berita dengan mudah. Ini bukan tahun 1998 dimana rakyat hanya ada Televisi. Dan di Malaysia, hanya parti pemerintah yang mengawal televisi. Parti-parti dan pihak-pihak yang tidak sealiran dengan parti pemerintah tidak akan diberi ruang malah lagu band poppunk Bunkface juga diharamkan untuk disiarkan di TV dan radio kerajaan hanya kerana lirik lagu mereka mempunyai perkataan “reformasi”. Memang tiada ekses media yang adil, matang dan terbuka. Malah komik political dirampas, akhbar parti alternative kadang-kadang dirampas dan diharamkan.

Oiyah, kamu sekarang sudah berkeluarga dan baru saja punya anak. Selamat yah kawan..Semoga kamu bisa menjalankan keluarga kamu dengan baik J . Lalu berkaitan dengan aktivitas kamu di scene punkrock, bagaimana kamu mengatur waktu , jadwal , dan juga rencana – rencana dalam hidup kamu antara kegiatan di scene punkrock , berkumpul(lepak) dengan kawan – kawan scene, dan juga waktu kamu untuk bersama – sama dengan keluarga dan juga anak kamu? Kamu menetapkan prioritas untuk semua pilihan – pilihan itu?

Ya betul, aku baru setahun bernikah dan anak aku berusia lima bulan. Sejak kahwin, aku sudah agak kurang aktif di luar rumah. Jarang lepak dengan kawan mahupun ke gig. Kalau ke gig pun, yang berdekatan dengan rumah dan kadang-kala sekejap sahaja. Tapi, bukanlah tidak pergi langsung. Masa aku kena dibahagikan dengan bijak untuk keluarga, agama dan aktiviti scene. Keluarga harus diutamakan. Jadi aku harus memilih gig dan acara mana yang penting untuk aku pergi. Untuk band, mereka semua faham dan kami berjumpa sekali-sekala bila perlu. Mereka faham situasi dan komitmen aku terhadap keluarga aku yang baru hendak bermula ini.

Untuk zine pula, aku menaip di tempat kerja. Dan urusan membungkus barangan untuk dipos juga, sejak ada anak ini, aku lakukan dalam waktu kerja. Kerana di rumah, semasa anak aku tidur, akan mengganggu dan bising. Bila dia tak tidur, aku harus bermain-main dengannya agar dia kenal ayahnya supaya aku boleh menjaganya. Lagipun aku tinggal di rumah mertua (in laws), jadi aku tak mahu sepahkan ruang tamu. Jadi sekali atau dua kali dalam seminggu, aku akan berada dalam kereta aku, membungkus parcel untuk dipos pesanan-pesanan kepada pembeli aku.


Apa yang nantinya mau kamu bagi dengan anak kamu? Karena menurut aku, ketika kita sudah memiliki seorang anak, maka sebenarnya anak kita itu juga termasuk bagian dari perjuangan kita, dia juga bagian dari apa yang kita ingin rubah dari system yang ada sekarang ini. Tentunya nilai – nilai yang kita yakini bisa kita tanamkan kepada anak itu dan begitu juga dia akan bertahan dengan nilai – nilai itu hingga dewasa nanti. Apa kamu akan memperkenalkan punkrock? Ataupun kamu berharap bahwa anak kamu akan menjadi penerus dari Nervhous ? 

Tentunya aku mahu yang baik-baik saja untuk anak aku. Aku mahu sebuah Negara yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cicit aku kelak. Aku turut serta dalam revolusi, dalam demonstrasi. Ada yang mengatakan padaku “kenapa nak pergi berdemo dan seperti hendak membunuh diri sedangkan kau ada anak dan isteri?” Namun itu semua aku lakukan untuk masa depan mereka dan negara yang lebih baik, sekurangnya itu apa yang aku percaya dan harapkan. Aku akan ajar anak aku apa yang baik dan apa yang buruk dari apa yang aku belajar dari agama kepercayaanku, Islam. Dan juga dari pendidikan duniawi, punk rock, seni dan pengalaman-pengalaman aku sendiri. Seterusnya terpulang padanya untuk menentukan apa yang dia suka dan tidak suka. Aku hanya boleh membentuknya namun semuanya terserah padanya, dia ada akal sendiri suatu hari nanti dan dia mampu membuat penilaian sendiri. Aku doakan dia yang baik-baik sahaja. Nervhous records dan punk rock??? Mungkin aku tidak akan memperkenalkannya secara khusus muziknya tetapi nilai-nilai positifnya…sudah pasti.

Dan kamu sepertinya juga menjadi guru? Apakah ada pengalaman menarik selama kamu menjadi guru dan mengajar murid – murid kamu? Apa ada diantara murid – murid kamu yang juga mulai memiliki ketertarikan dengan punkrock(baik itu melalui music ataupun movement)? Atau apakah kamu juga pernah bertemu dengan murid kamu di gig dan pogo/moshing bersama dia?

Ya, aku bertugas sebagai seorang pensyarah subjek Creative Studies dan Design Studies di sebuah Universiti swasta di sini. Pengalaman paling kelakar bila salah seorang anak murid aku mempunyai lagu-lagu band yang aku sertai, band screamo rock yang aku jadi vokalis, iaitu Inikah Hidup lalu dia memasang lagu-lagu tersebut dalam kelas. Dan seorang murid perempuanku bertanya, “Sir, ni sir ke nyanyi?” Ada juga student aku yang pemalas dan perasan bagus selalu memakai baju band Distillers ke kelas. Dan salah seorang anak murid aku aktif dalam kelab pelajar Indonesia di sini dan mereka kerap membawa masuk band Indonesia untuk beraksi di Malaysia termasuk di tempat kerja aku. Antara band tersebut adalah Netral, Whiteshoes and the Couples Company dan Efek Rumah Kaca. Aku pernah bertemunya di gig yang Dum Dum Tak buat persembahan bersama Efek Rumah Kaca.

Pernah juga aku dan kawan-kawan membuat persembahan muzik kepada murid-murid kami apabila semester tamat, memainkan lagu-lagu dari Radiohead, Coldplay, Zainal Abidin, 4 Non Blondes, The Cure, Pixies dan lain-lainnya. Dan ada anak murid kami yang menyertai kami menyanyikan lagu Greenday dan Fall Out Boy. Rakan-rakan sekerja aku yang juga pensyarah ada yang juga aktif dalam band DIY lain seperti Teenage Glory For The Wasted (post-rock), The Pilgrims (punk rock), Nuisance Drilled (sludge) dan kami ada membentuk band projek pensyarah bernama Majnun (noise). Ada juga rakan sekerja aku yang juga pensyarah membuat zine DIY mereka iaitu A Dream?, Diriku Untuk Dijual dan juga Innerview. Jadi, di sini ada pensyarah yang into DIY scene, independent music dan hardcore/punk juga.    

Kamu sangat aktif dalam menerbitkan tulisan – tulisan kamu. Kamu menerbitkan MOSH, dan baru – baru ini kamu juga menerbitkan dua buah buku(bersama kawan-kawan kamu juga yah?) PUNKROCK DI SEBALIK FESYEN DAN MUSIK BIZING dan AKSI REAKSI. Apakah minat baca kawan – kawan di scene punk Malaysia cukup tinggi?  Apakah distribusi buku tersebut hingga ke Negara lain selain Malaysia dan Singapura? Apakah buku – buku tersebut juga dijual di toko – toko buku regular(bukan distro hcpunk)? Apakah orang selain kawan – kawan hcpunk juga tertarik dengan buku yang kamu terbitkan(common people, not a hcpunk kid)?

Ya, aku adalah salah seorang dari penulis buku Punk Rock iaitu buku mengenai muzik dan budaya DIY punk rock di Malaysia. Buku ini dikelolakan oleh Dhani Ahmad (yang sebelumnya menerbitkan buku Goblog) dan aku. Aku juga penulis buku Aksi Reaksi iaitu buku tentang perjalanan band aku, Dum Dum Tak. Sebenarnya scene buku DIY/independent di Malaysia sangat baru dan muda berbanding dengan di Indonesia. Ramai orang Malaysia menganggap membaca adalah satu aktiviti yang membosankan dan uncool. Jadi aku dan rakan-rakan ingin cuba ubah persepsi itu. Boleh dikatakan penjualan kedua-dua buku sangat memuaskan, boleh dikatakan sangat laku dan mendapat sambutan hangat. Tapi rata-rata pembeli adalah di kalangan pengikut yang aktif di scene hardcore/punk sendiri. Mungkin kerana kedua-dua buku ini adalah cetakan terhad dan hanya dijual melalui pos dan acara-acara DIY dan tidak memasuki pasaran kedai-kedai buku. Kerana sangat terhad, jadi buku-buku ini masih belum sampai ke Negara-negara jiran walaupun ada peluang. Mungkin akan datang ada cetakan seterusnya dan akan sampai ke Negara-negara jiran terutamanya Indonesia, Singapura, dan Brunei. 

Aku tertarik sekali dengan buku AKSI REAKSI yang merupakan catatan perjalanan band kamu Dum Dum Tak. Banyak band lain lebih memilih membuat film documenter untuk menampilkan sejarah perjalanan band mereka. Kenapa kamu memilih buku? Apakah buku tersebut kamu tulis sendiri atau kamu tulis bersama – sama personil Dum Dum Tak yang lainnya?

Aku juga berminat dengan filem/movie documentary dan jika aku ada kemahiran dalam bidang videography aku ingin melakukan editing dan penggambaran untuk band kami. Tapi, apakan daya aku hanya pandai menulis. Aku sudah menulis zine sejak tahun 1999 dan aku makin serious dalam bidang penulisan jadi aku rasa aku perlu teruskan menulis. Jadi, aku berfikir aku mahu tulis tentang muzik punk di Malaysia. Sudah lama aku bercita-cita untuk menulis buku tentang band di Malaysia, mungkin band Carburetor Dung yang sudah lama aktif dan masih aktif hingga kini. Tapi agak sukar, aku kena kumpul interview-interview mereka, dan aku sendiri kena tanya banyak perkara pada mereka. Ini mungkin akan mengganggu hidup mereka. Jadi, bila aku ada bermain dengan band Dum Dum Tak dan kami agak aktif dan banyak main show berbanding band-band aku sebelum ini, jadi aku fikir…baik aku tulis buku tentang band aku sendiri. Ini kerana aku tahu hampir segalanya tentang Dum Dum Tak. Dan kami ada catatkan aktiviti-aktiviti dan idea kami di blog, jadi kerja aku semakin mudah. Sebenarnya aku suka membaca buku-buku punk rock termasuk dari Indonesia. Aku terpengaruh dengan buku ‘Double Duce’ oleh Aaron Cometbus (Amerika), Myself: Scumbag oleh Kimung tentang bekas vokalis Burgerkill (Indonesia) untuk buku Aksi Reaksi ini.

Aku ada menjemput ahli band Dum Dum Tak dan juga kawan-kawan yang pernah membantu kami untuk menulis pengalaman mereka bersama band ini juga, namun mereka tidak menghantar apa-apa tulisan. Terima Kasih pada Oxygen Media yang menerbitkan buku ini.

Seberapa pentingkah perjalanan dari Dum Dum Tak hingga harus kamu tulis dan terbitkan didalam sebuah buku?

Hahahhaha! Tidak begitu penting, kami hanyalah sebuah band baru dan mentah. Kami bukanlah band yang sudah lama aktif seperti Carburetor Dung atau Second Combat. Tapi Dum Dum Tak mempunyai ramai pendengar. Dan pendengar kami terdiri latar belakang yang luas…dari pelajar, pensyarah, orang seni, penjual buku, ahli politik, awek indie dan ramai yang menyukai lagu-lagu kami dan liriknya terutama dalam album ‘Hentikan Penindasan’ –itu apa yang aku rasakan. Mungkin kerana bahasa perantaraan yang kami gunakan dengan muzik yang tidak terlalu keras dan mereka boleh menerima apa yang kami ingin sampaikan. Aku bersyukur.

Buku ini penting untuk diterbitkan kerana di Malaysia hampir tiada buku yang ditulis berkenaan muzik rock, punk, hardcore, metal, indie dan sebagainya. Tidak seperti Indonesia. Di sini, ia sangat baru, dimulakan dengan blook kutipan tulisan budak-budak punk, Goblog (oleh Dhani Ahmad) tapi ia tidak focus pada tema punk rock, dan kemudian Mohd Jayzuan yang menulis buku 28 Hari Jurnal Rock N Roll yang juga salah satu pengaruh aku sebenarnya. Selain itu, aku rasa tiada. Jadi bagi aku, buku Punk Rock dan Aksi Reaksi adalah penting untuk diterbitkan dan aku harap lepas ini, ada lagi buku-buku sebegini yang diterbitkan di sini sebagai kesinambungan. Kerana buku sebegini ada pasarannya di Malaysia, ini terbukti dengan tahap jualan buku-buku tersebut yang habis dijual.

Apa rencana kamu dalam waktu dekat ini? Apa ada projek yang mungkin bisa mengundang partisipasi dari kawan – kawan lain di Indonesia?

Oh ya, aku dan kawan-kawan baru mengeluarkan CD kompilasi hardcore/punk Malaysia pada bulan ini (May) bertajuk Give & Take. Dum Dum Tak turut memuatkan sebuah lagu dalam kompilasi ini bertajuk “Aksi Reaksi”. Selain itu, kami sedang mencari siapa-siapa tidak kira di mana-mana Negara yang mengiginkan lagu kami untuk dimuatkan dalam mana-mana kompilasi mereka, kami berminat untuk menyumbangkan sebuah lagu pada mereka. Dan siapa-siapa saja sangat dialu-alukan untuk menghantar karya tulisan atau hasil seni mereka untuk zine aku, Mosh zine. Boleh terus hubungi aku di nizangmosh@gmail.com. Terima Kasih pada Aldiman untuk temuramah ini dan para pembaca. Jaga diri dan have fun. 




DAPATKAN ZINE INI DARI revivalpropaganda@gmail.com

1 comment:

Anonymous said...

wah saye dapat blog ni juga dari zine ini ni, semoga menginspirasi ye pak cik, saye juga dari pontianak, the unfamous city in indonesia but it growth fast, saye bace - bace ye tulisan2 pak cik ni

oh ye, ni blog saye kalau mau berkunjung http://lunaticmonster.wordpress.com/