Thursday, February 16, 2017

Ulasan: Aku Anak Punk oleh Ein Second Combat



Aku masih ingat, masa tu sebuah kelab tidak jauh dari KLCC yang bernama Blue Planet. Aku berbaju Minor Threat bootleg yang dicop oleh seorang kawan aku, Jang Manteras. Aku beli baju tu di A//Mince infoshop/studio. Masa tu pun, aku baru-baru lagi dengar Minor Threat, dan terus jatuh cinta. Terus menggelarkan diriku sebagai seorang pengamal gaya hidup Straight Edge. Aku di situ untuk gig. Salah satu band yang akan bermain pada hari tersebut adalah Second Combat

Bila Ein Nampak saja kelibat aku dengan baju Minor Threat membaluti badan aku yang kurus ni, terus dia memanggil aku dekat padanya. Ketika itu mereka ada membawa beberapa material seperti CD dan baju untuk dijual diletakkan atas meja.

Lantas aku bertanya, “Korang main bila?” 

“Kami main akhir sekali. Kenalah tunggu” katanya sambil menguntumkan senyuman.

Sebelum tu pun, aku pernah ke gig di kelab bernama Teratak Dangdut. Aku ke gig tersebut dengan Shah dan pada mulanya kami merancang untuk hanya lepak di luar gig. Tapi bila bermula saja set Second Combat, berkumandanglah bunyi gitar greng greng dan hentakan dram laju ke segenap ruang hingga ke luar dewan. Aku bingkas berdiri dan membayar tiket gig dan masuk meninggalkan Shah di luar keseorangan! Tak tertahan dibuatnya.

Ya, pada waktu itu kebanyakan gig punk/hardcore diadakan di kelab-kelab malam dan juga dangdut kerana masih belum ada ruang-ruang DIY yang dipunyai oleh budak-budak scene punk/hardcore sendiri seperti hari ini. Second Combat bermula sebagai band punk pada tahun 1996. Nama asal mereka adalah The Pistons. Pada tahun 199_ mereka telah berjaya mengeluarkan demo tape pertama mereka berjudul ‘Race. Truth.Lies.Attitude’. Nama demo ini diilhamkan oleh Rush, gitaris mereka ketika itu yang juga salah seorang pengasas band ini. Nama demo tersebut dipilih untuk menyatakan topik dan isu yang mereka nyanyikan dalam demo tersebut. 

Ketika era 90an, band-band DIY tempatan kebanyakannya belum mengeluarkan demo tape dalam cetakan yang professional kerana ianya mahal. Namun masalah ini tidak menghalang hasrat mereka untuk merakam dan mengedar lagu-lagu ciptaan mereka. Band-band punk, hardcore dan indie tampil dengan home-dubbing demo tape dan kulit kaset kebiasaannya difotostet sahaja. Mereka lalu menjual kaset-kaset ini di gig, kepada kawan-kawan di skatepark dan juga melalui pos. Zine-zine yang banyak diterbitkan ketika itu banyak memainkan peranan untuk mempromosikan kaset demo band-band tempatan dengan membuat ulasan dan temuramah dengan mereka. 

Pada akhir 90an, mereka memilih untuk menjadi band straight edge. Ada yang memang sedia ada bebas rokok, dadah dan alcohol. Ada yang pernah mengamalkannya lalu terus meninggalkan kesemua elemen tersebut untuk hidup yang lebih positif dan mempromosikan gaya hidup tersebut. Mereka juga adalah band pertama dari Malaysia yang membuat tour ke Eropah dan Indonesia.

Second Combat tidak mengehadkan untuk bermain muzik hardcore sahaja. Suatu ketika, mereka sering bermain lagu ‘Where Are They Now?’ dari band skinhead Cocksparrer dan lagu ‘Do What You Want’ dari band melodic punk Bad Religion. Namun antara momen yang aku paling tidak akan lupa adalah apabila mereka beraksi di pentas Central Market Annexe untuk gig berjudul ‘The Undercover’. Gig ini memestikan band-band yang turut serta, kesemuanya band punk dan hardcore untuk bermain lagu saduran dari pemuzik lain sahaja.

Bayangkan Gasoline Grenade memainkan lagu dari kumpulan Gersang dan The Mindless Show memainkan lagu kumpulan XPDC. Second Combat pula memainkan sebuah lagu dangdut bertajuk ‘Penasaran’ dengan Aca Straight Answer menyanyikannya.



Tulisan di atas adalah antara petikan tulisan prakata yang aku tulis untuk buku ini tapi mungkin Ein terlupa dan terlambat menghantarnya kepada penerbit. Jadi aku abadikan sedikit di sini (blog dan zine)...

Ini merupakan satu buku yang penting didokumentasikan kerana Ein merupakan seorang yang sangat komited dengan kerja-kerja aktivismnya dari berkempen untuk Straight Edge, kehidupan sihat sehinggalah membantu orang-orang susah, gelandangan dan memerlukan dengan beberapa pertubuhan NGO. Aku pernah tengok di satu acara anjurannya di Kolej Bandar Utama, dia memandu van membawa kanak-kanak dari rumah zakat. Kanak-kanak tersebut dari Klang dan Kambung Subang katanya.

Semua gambar dalam buku ini dicetak warna. Pojok adalah sebuah anak syarikat Karangkraf. Jadi, aku rasa buku ini dicetak dalam jumlah yang banyak dan bakal muncul di kedai-kedai buku serata Malaysia. Cuma satu komen dari aku, aku agak terganggu dengan tajuk buku ini kerana ianya kedengaran seperti bahasa Indonesia. Kalau bahasa Malaysia mungkin ia patutnya bertajuk ‘Aku Budak Punk’.